top of page

12 Sukarelawan Malaysia Termasuk Farah Lee Ditahan Israel Selepas Kapal GSF Dipintas di Laut Mediterranean

  • A. Zahid
  • Oct 2, 2025
  • 2 min read

“Israel sembur air yang sangat kuat sehingga kami semua yang berada di atas bot terpelanting. Mereka bagi amaran, sama ada belayar ke Israel atau patah balik. Kalau berdegil, ini amaran terakhir,” demikian mesej terakhir yang dikongsikan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), Farah Lee atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli, 32, melalui Instagram sebelum ditahan tentera Israel.


Farah merupakan antara 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan selepas kapal misi kemanusiaan GSF dipintas di Laut Mediterranean ketika dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gaza, malam tadi. Beliau berada di atas kapal Grande Blu bersama seorang lagi sukarelawan, Danish Nazram, yang turut ditahan.


Sebelum penahanan, Farah memaklumkan kapal dinaikinya disembur meriam air oleh tentera Israel dan diarahkan menghentikan perjalanan. Namun, beliau bersama sukarelawan lain tetap nekad untuk mara menuju Gaza.


Selain Farah dan Danish, sukarelawan Malaysia lain yang disahkan ditahan ialah penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli dari kapal Sirius; pasangan adik-beradik Heliza Helmi dan Hazwani dari kapal Hio; serta Iylia Balqis, Ahmad Musa Al-Nuwayri dan Sul Aidil dari kapal Alma.


Mesej SOS kecemasan bagi kesemua 12 sukarelawan itu turut disiarkan melalui media sosial rasmi Sumud Nusantara, mengesahkan mereka kini berada dalam tahanan Israel.

Secara keseluruhan, seramai 23 sukarelawan Malaysia menyertai misi GSF yang memasuki Zon Merah 3 iaitu 110 batu nautika dari Gaza, malam tadi.


Bagaimanapun, status lima lagi rakyat Malaysia iaitu PU Rahmat, Norhelmi, Norazman (kapal Estella) serta pelakon Ardell Aryana (kapal Mikeno) masih belum diketahui sehingga kini.

Menurut laporan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), sembilan kapal berada dalam status “diserang” manakala 13 kapal lain telah menghantar isyarat kecemasan, menandakan tekanan hebat sedang dihadapi seluruh armada flotilla tersebut.

Comments


bottom of page