101 Sesi Libat Urus Akta PSB Dilaksanakan, Rekod Tertinggi Dalam Sejarah - Nga
- TW
- Jun 26
- 1 min read
JOHOR BAHRU, 26 Jun 2025 – Proses penyediaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) mencatatkan sejarah apabila sebanyak 101 sesi libat urus telah diadakan, menjadikannya sebagai sesi perbincangan akta paling menyeluruh dilaksanakan setakat ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata sesi libat urus tersebut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti pemaju hartanah, persatuan pembeli rumah, aktivis masyarakat, ahli akademik, Ahli Parlimen dan wakil parti politik. Beliau menjelaskan bahawa pendekatan inklusif ini diambil bagi memastikan tiada kelompok yang tertinggal dan bagi mengelakkan kawasan bandar menjadi penempatan tidak rasmi pada masa akan datang. Proses ini dilakukan untuk memastikan bandar lama dan usang dapat diperbaharui agar lebih mampan dan selari dengan kehendak semasa.
Menurut beliau, akta berkenaan dijangka akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang akan datang, bertujuan menjadi landasan kepada pelaksanaan semula bandar secara terancang. Pada masa ini, pelaksanaan PSB masih berdasarkan Akta Hakmilik Strata 1985 yang memerlukan resolusi sebulat suara daripada pemilik bangunan untuk membenarkan badan pengurusan mengambil alih pelaksanaan pembaharuan. Melalui akta baharu, kerajaan mencadangkan had persetujuan berdasarkan usia bangunan: 75 peratus untuk bangunan lebih 30 tahun, 80 peratus untuk bangunan kurang 30 tahun, dan 51 peratus untuk struktur yang dianggap usang atau tidak selamat.
Langkah ini dilihat sebagai satu inisiatif strategik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memperkukuh pembangunan bandar mampan, selamat dan memenuhi keperluan rakyat pada masa depan.







Comments