Work From Home, Skill From Home: TVET Bantu Ringankan Beban Rakyat
- E. Guan
- Sep 29, 2025
- 2 min read
Isu kos sara hidup yang semakin meningkat terus menjadi cabaran utama rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 dan M40. Perbelanjaan isi rumah untuk makanan, perkhidmatan, pendidikan, dan kesihatan semakin membebankan sama ada di bandar mahupun luar bandar.
Akibatnya, ramai keluarga terpaksa mengehadkan perbelanjaan harian, malah ada yang menangguhkan keperluan penting. Dalam situasi ini, salah satu pendekatan baharu yang wajar diberi perhatian ialah memperkukuh kemahiran asas dan profesional melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh dijalankan secara work from home (WFH) atau work from everywhere (WFE).
Kemahiran teknikal dalam kalangan ahli keluarga sebenarnya mampu memberi kesan langsung kepada kos sara hidup. Tugas asas yang biasanya diupah orang luar—seperti membaiki komputer, servis motosikal, menjahit pakaian, menghasilkan grafik, kerja paip atau pendawaian kecil; boleh dilakukan sendiri. Jika diupah, kos perkhidmatan ini boleh mencecah ratusan ringgit sebulan.
Lebih baik lagi, kemahiran tersebut boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan. Contohnya, suri rumah yang mahir menjahit boleh mengambil tempahan kecil, anak muda dengan sijil kursus komputer jangka pendek boleh menawarkan khidmat reka bentuk laman web, manakala pesara yang berkemahiran membaiki peralatan elektrik boleh membantu jiran sambil memperoleh pendapatan. Maka, TVET bukan sekadar cara berjimat, malah membuka ruang ekonomi baharu untuk keluarga.
Penting difahami bahawa TVET hari ini tidak lagi terhad kepada bidang teknikal tradisional seperti automotif atau elektrik. Skopnya lebih luas dan relevan dengan kehidupan seharian, antaranya pengurusan kewangan peribadi, pemasaran produk melalui platform digital, pengurusan acara, komunikasi digital, khidmat pelanggan, serta keusahawanan. TVET kini lebih bersifat kemahiran hidup menyeluruh.
Persoalan utama ialah bagaimana melaksanakan TVET dari rumah, khususnya bagi yang tiada asas teknikal. Jawapannya melalui kursus pendek yang fleksibel, padat dan praktikal. Institusi teknikal negeri, politeknik, universiti, serta kolej komuniti boleh menawarkan modul khas untuk WFH. Teori boleh dilaksanakan secara dalam talian, manakala latihan praktikal dijalankan di bengkel komuniti atau pusat latihan industri.
Sebagai contoh, kursus asas penyelenggaraan elektrik rumah boleh dijalankan selama tiga minggu—minggu pertama teori secara dalam talian, manakala minggu kedua dan ketiga latihan praktikal dengan juruteknik. Kursus ringkas sebegini tidak membebankan tetapi memberi kemahiran yang terus boleh digunakan.
Bidang lain yang berpotensi termasuk teknologi maklumat, reka bentuk grafik digital, pemasangan sistem solar kecil, penyelenggaraan kenderaan, pembuatan makanan berskala kecil, pertanian moden seperti hidroponik, serta keusahawanan. Selain berguna untuk kegunaan sendiri, bidang ini juga berpotensi besar menjana pendapatan.
Kerjasama dengan industri sangat penting untuk memastikan keberkesanan program. Industri boleh menyediakan modul terkini, peralatan asas, serta tenaga pengajar berpengalaman. Lebih bernilai jika kursus mendapat pengiktirafan industri kerana ia meningkatkan kebolehpasaran peserta.
Satu lagi kelebihan TVET dari rumah ialah tempoh kursus yang singkat; antara dua minggu hingga tiga bulan sudah mencukupi. Dari segi kos, kerajaan dan institusi pendidikan boleh menawarkan subsidi atau geran, menjadikannya mampu milik. Kursus pendek boleh ditawarkan pada harga serendah RM50 hingga RM200.
Manfaatnya amat jelas. Pertama, isi rumah dapat berjimat tanpa perlu mengupah orang luar. Kedua, kemahiran tersebut boleh menjana pendapatan tambahan. Ketiga, masyarakat menjadi lebih berdikari, produktif, serta selari dengan usaha negara melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Lebih penting, pendekatan ini bersifat inklusif—terbuka kepada lepasan sekolah, graduan, suri rumah, pesara, pekerja sektor tidak formal, malah sesiapa sahaja yang ingin menambah kemahiran.
Kerajaan negeri, institusi pendidikan, dan pihak industri wajar berganding bahu menjadikan idea ini satu kenyataan. Dalam suasana ekonomi mencabar, inisiatif sebegini adalah solusi praktikal, inklusif, dan berkesan untuk membina keluarga sejahtera dan negara makmur.







Comments