top of page

Kenyataan Wisma Putra Disalah Tafsir: Malaysia Kekal Tegas Sokong Perdamaian Berasaskan Keadilan untuk Palestin

  • E. Guan
  • Oct 6
  • 2 min read

Kenyataan Wisma Putra mengenai pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, baru-baru ini menimbulkan sedikit kekeliruan apabila segelintir warganet tersalah tafsir istilah “mengalu-alukan” sebagai tanda Malaysia “menyokong” atau “menerima” sepenuhnya Pelan 20 Perkara yang dibentangkan Trump untuk Gaza. Sebenarnya, kenyataan bertarikh 30 September itu hanyalah satu kenyataan diplomatik yang menzahirkan sokongan terhadap usaha ke arah menghentikan peperangan, sambil menegaskan beberapa prinsip penting seperti pematuhan kepada undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perlindungan terhadap rakyat Palestin, penegakan keadilan dan akauntabiliti, serta penyelesaian muktamad yang mesti menuju kepada penubuhan sebuah negara Palestin merdeka berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.


Dalam kenyataan media Wisma Putra itu, terdapat tiga perkara utama yang perlu difahami. Pertama, Malaysia mengalu-alukan usaha damai yang diumumkan Trump dan Amerika Syarikat bagi menamatkan peperangan di Gaza. Kedua, Malaysia menzahirkan harapan agar pelaksanaan pelan tersebut dilakukan dengan penuh keikhlasan, termasuk memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, pasukan Israel berundur, rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa dapat pulang, serta usaha pemulihan Gaza dapat dijalankan. Ketiga, Malaysia menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan pelan damai mesti mematuhi undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan resolusinya, selain menjamin prinsip keadilan, akauntabiliti dan keselamatan rakyat Palestin.


Salah faham dalam kalangan warganet mungkin berpunca daripada tajuk kenyataan Wisma Putra yang berbunyi positif, “Malaysia commends”, sehingga disalah anggap sebagai sokongan tanpa syarat. Tambahan pula, tajuk ringkas yang dipetik oleh media antarabangsa dan tempatan tidak selalu disertakan dengan perenggan penegasan penting, menyebabkan berlaku kekeliruan. Di samping itu, ramai yang tidak meneliti kandungan penuh Pelan 20 Perkara Trump, lalu menyangka Malaysia bersetuju dengan keseluruhan isi pelan tersebut.


Hakikatnya, pelan damai Trump itu sendiri amat kontroversial. Ia mencakupi cadangan gencatan senjata, pertukaran tebusan dan tahanan, pelucutan senjata Hamas, penubuhan badan antarabangsa “Board of Peace” yang diketuai Trump dengan Tony Blair sebagai peneraju utama, pengunduran berperingkat tentera Israel, penempatan pasukan keselamatan antarabangsa (ISF), pentadbiran teknokrat sementara, dan janji pembangunan ekonomi berskala besar. Namun, pelan ini gagal menjamin hak rakyat Palestin secara menyeluruh. Antara kelemahannya termasuk risiko mengekalkan status quo yang memihak kepada Israel melalui gencatan senjata bersyarat, penyelesaian sementara tanpa menyentuh akar konflik, pelucutan senjata tanpa jaminan keselamatan, kawalan bantuan kemanusiaan oleh pihak luar, dan cadangan pentadbiran teknokrat di bawah kuasa asing yang berbau neo-kolonial. Selain itu, janji pembangunan ekonomi tidak menyentuh hak politik yang lebih mendasar, hak pelarian untuk kembali ke tanah asal diabaikan, pengunduran Israel dilakukan bersyarat, dan pelan ini memberi ruang kepada pelaksanaan unilateral sekiranya Hamas menolak cadangan tersebut.


Secara keseluruhannya, pelan ini mengekalkan ketidakseimbangan kuasa antara Israel dan Palestin serta menangguhkan aspirasi kenegaraan rakyat Palestin. Dalam hal ini, pendirian Malaysia kekal konsisten — sebarang pelan damai mesti berpaksikan undang-undang antarabangsa, keadilan dan akauntabiliti, serta menuju kepada pembentukan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Konsistensi ini turut dizahirkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 2 Oktober mengecam keras tindakan Israel memintas flotila bantuan ke Gaza. Tindakan ini membuktikan bahawa Malaysia hanya menyokong perdamaian berasaskan keadilan, bukan perdamaian yang mengekalkan penindasan.

Comments


bottom of page