top of page

Warisan Tegas Bertanding Solo di PRN17 Sabah

  • E. Guan
  • Sep 29, 2025
  • 1 min read

Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan bahawa mereka tidak akan bergabung dengan mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah. Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menekankan bahawa keutamaan parti ialah untuk “bergabung dengan rakyat” dalam usaha membela nasib mereka.


Menurut beliau, isu-isu asas rakyat Sabah seperti air, banjir dan kebakaran lebih mendesak untuk diperjuangkan berbanding mencari gabungan politik. “Kenapa perlu ada cakap-cakap tentang gabungan? Yang penting kita bersama rakyat Sabah yang perlukan pembelaan,” katanya ketika menghadiri sesi Bersama Rakyat di DUN Bengkoka, Pitas pada Sabtu.


Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna mengumumkan Warisan akan bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah pada PRN17, selaras keputusan Majlis Tertinggi parti yang telah bermesyuarat dua kali sebelum ini.


Beliau turut menegaskan bahawa walaupun ada pihak bercakap tentang kerjasama politik, Warisan kekal dengan pendirian untuk bergerak solo. Media sebelum ini melaporkan bahawa Barisan Nasional (BN) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selaras dengan prinsip BN untuk mengelakkan pertindihan kerusi, termasuk melalui pakatan bersama Pakatan Harapan (PH) dan parti lain yang sehaluan.

Comments


bottom of page