DAP Sabah Ucap Terima Kasih, Hormati Keputusan Bekas Pengerusi dan Setiausaha Negeri
- E. Guan
- Oct 13
- 2 min read
Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah menghormati keputusan bekas pengerusinya, Datuk Frankie Poon, dan bekas setiausaha negeri, Liau Fui Fui, yang mengambil keputusan untuk meninggalkan parti bersama dua cawangan di bawah pimpinan mereka.
Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, dalam kenyataannya pada Sabtu berkata, parti menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan menghargai segala sumbangan mereka kepada parti serta rakyat Sabah.“Kami berterima kasih atas khidmat dan dedikasi mereka selama ini. Semoga mereka terus berjaya dalam perjalanan seterusnya,” katanya.
Menurut Phoong, kepimpinan DAP Sabah kini akan menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuh perkhidmatan untuk rakyat Sandakan. Beliau berkata telah berbincang dengan Setiausaha DAP Sabah yang juga Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, dan menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan beliau dalam memperkuat jentera parti di kawasan itu.“Fokus kami adalah untuk terus menyampaikan idea serta khidmat berorientasikan rakyat, sambil memastikan kerja lapangan dijalankan secara berterusan,” tambahnya.
Phoong turut menegaskan bahawa barisan kepimpinan baharu DAP Sabah komited untuk membina masa depan yang lebih baik bagi seluruh rakyat di negeri itu.
Dalam kenyataan berasingan pada Sabtu, Frankie dan Fui Fui menjelaskan bahawa keputusan mereka meninggalkan parti dibuat selepas menilai dengan teliti perkembangan dalaman mutakhir ini, khususnya berkaitan penggantian kepimpinan DAP Tanjong Papat tanpa sebarang rundingan.“Meskipun keputusan ini tidak dibuat tergesa-gesa, kami melihat wujud tindakan tertentu daripada segelintir kepimpinan yang mencerminkan agenda tersirat untuk menggantikan kepimpinan sedia ada tanpa perbincangan rasmi,” kata mereka.
Kedua-duanya turut menyuarakan rasa kecewa terhadap hala tuju DAP Sabah yang menurut mereka kini lebih menumpukan kepada kelompok muda, sambil mengabaikan jasa serta peranan pemimpin veteran dan senior yang telah lama berkhidmat.“Kurangnya penghargaan terhadap pemimpin lama jelas menunjukkan perubahan budaya dalam parti,” ujar mereka.
Mereka turut memaklumkan bahawa dua cawangan DAP di bawah kepimpinan masing-masing turut keluar daripada struktur parti dan akan meneruskan perjuangan politik secara bebas di peringkat akar umbi.







Comments