top of page

Isu Pemisahan Kuasa, Tanah Rizab Melayu dan Pasaran Karbon Warnai Hari Pertama Sidang Parlimen

  • E. Guan
  • Oct 6
  • 1 min read

Isu pemisahan kuasa antara jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta pembangunan tanah rizab Melayu, menjadi antara topik utama pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat yang bermula hari ini.


Berdasarkan aturan urusan mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, meminta Perdana Menteri memberikan penjelasan mengenai perkembangan terkini cadangan pemisahan kuasa antara kedua-dua jawatan tersebut.


Dalam sesi sama, Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, membangkitkan isu pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur, termasuk kawasan Kampung Baharu. Beliau turut mempersoalkan cabaran utama yang dihadapi, seperti isu pemilikan tanah bertindih dan nilai pasaran yang rendah.


Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, pula menumpukan kepada isu akses keadilan wanita, dengan meminta penjelasan kerajaan mengenai langkah memperkukuh hak wanita dalam kes kekeluargaan, termasuk melalui usaha digitalisasi Mahkamah Syariah dan penambahbaikan prosedur guaman.


Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, menggesa Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam memberi penerangan mengenai status pasaran karbon negara, termasuk tahap kesiapsiagaan ekosistem dagangan karbon serta senarai MoU bilateral yang telah dimeterai sejajar dengan komitmen NDC di bawah Artikel 6.2 Perjanjian Paris.


Sidang Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember, dengan pelbagai isu dasar dan kebajikan dijangka menjadi tumpuan perbahasan.

Comments


bottom of page