Tesla Tawar Elon Musk Pakej Pampasan Baru Bernilai AS$29 Bilion
- Adi Dit
- Aug 5, 2025
- 1 min read
SAN JOSE, 5 Ogos 2025 – Tesla dilaporkan menawarkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk, satu pakej pampasan baharu bernilai sekitar AS$29 bilion (kira-kira RM136 bilion), menurut agensi berita Jerman (dpa).
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X, dua ahli lembaga pengarah Tesla – Robyn Denholm dan Kathleen Wilson-Thompson – menjelaskan bahawa Musk akan menerima 96 juta unit saham yang akan dimiliki sepenuhnya selepas beliau menamatkan dua tahun tempoh perkhidmatan dalam jawatan kepimpinan tersebut.
Saham tersebut ditawarkan pada harga AS$23.34 seunit, jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa yang melebihi AS$300 seunit.
Tawaran ini dibuat susulan kontroversi berhubung pakej imbuhan terdahulu pada tahun 2018 yang telah dibatalkan oleh mahkamah di Delaware pada 2024. Hakim ketika itu memutuskan bahawa kelulusan pakej tersebut tidak sah kerana Musk didapati mempunyai pengaruh yang terlalu besar dalam proses perundingan bersama lembaga pengarah, dan butiran penting disembunyikan daripada pengetahuan pemegang saham.
Namun begitu, pada Mesyuarat Agung Pemegang Saham Tesla yang diadakan pada Jun 2024, pakej 2018 itu telah diluluskan semula selepas maklumat tambahan dikemukakan hasil perbicaraan terdahulu. Walaupun begitu, hakim tetap berpegang pada keputusan awalnya untuk membatalkan pakej tersebut.
Tesla kini dalam proses merayu keputusan tersebut, dan memaklumkan bahawa sekiranya pakej 2018 yang melibatkan lebih 300 juta saham diisytiharkan semula sebagai sah, pakej pampasan baharu kepada Musk akan ditarik balik.







Comments