Konsert Ulang Tahun Ke-40 Wings Diteruskan, Persiapan Berjalan Lancar
- E. Guan
- Oct 13
- 1 min read
Walaupun berdepan dengan pengunduran dua ahli asalnya, Eddie (bass) dan Black (dram), kumpulan rock lagenda Wings tetap meneruskan perancangan untuk mengadakan Konsert Ulang Tahun ke-40 mereka pada 28 November ini.
Konsert tersebut diadakan sebagai penghargaan kepada empat dekad perjalanan seni kumpulan yang telah menjadi ikon muzik rock tanah air sejak penubuhannya pada tahun 1985.
Menurut Datuk Eddy Amir Salim, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM) yang juga penganjur konsert berkenaan, acara bertemakan “WINGS 40: 4 Dekad Terbang Tinggi” akan berlangsung di Idea Live Arena, Damansara, dan segala persiapan sedang berjalan lancar.“Semua persediaan berada pada tahap terbaik. Peminat boleh menjangkakan satu pengalaman konsert yang epik, penuh nostalgia dan sarat dengan kenangan,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Eddy menegaskan bahawa konsert kali ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu bentuk penghargaan kepada nama besar Wings yang telah menghiburkan peminat selama 40 tahun.“Kami mahu setiap penonton pulang dengan kenangan manis melalui lagu-lagu ikonik Wings,” tambahnya sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada Eddie dan Black.
Terdahulu, pada 8 Oktober 2025, Eddie dan Black mengumumkan keputusan untuk meninggalkan kumpulan itu serta tidak akan menyertai konsert ulang tahun ke-40 yang dijadualkan berlangsung bulan depan. Mereka bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci sebab pengunduran tersebut.
Sebelum ini, pemain gitar Joe turut meninggalkan Wings pada tahun 2017. Kini, kumpulan itu diterajui oleh Awie, bersama Edrie Hashim dan Sham, yang menyertai barisan Wings sejak 2018.







Comments