‘Squid Game’ Musim 3: Penamat Epik Antara Gi-hun dan Front Man
- Camelia K
- Jun 11, 2025
- 1 min read
SEOUL, 9 Jun – Siri global sensasi "Squid Game" bakal melabuhkan tirainya dengan musim ketiga yang menjanjikan pertembungan terakhir antara dua watak utama — Gi-hun dan Front Man — dalam sebuah naratif yang menyentuh persoalan asas nilai kemanusiaan.
Pengarah dan pencipta siri, Hwang Dong-hyuk berkata musim terakhir ini memberi tumpuan kepada persoalan sama ada manusia masih mampu mencipta dunia yang lebih baik dan mampan untuk generasi akan datang, khususnya dalam realiti masyarakat kapitalis yang penuh persaingan.
“Saya mahu mengajukan soalan, bukan beri jawapan muktamad. Dan pertembungan akhir antara Gi-hun dan Front Man mewakili dua pegangan yang sangat berbeza tentang dunia,” katanya dalam sidang media di Seoul.
Musim ketiga juga akan menyentuh kesedihan dan kehilangan yang dialami Gi-hun selepas kematian sahabatnya, Jung-bae, dalam permainan maut, sekali gus membawa penonton menyelami konflik dalaman serta batas akhir harapan.
Pelakon utama Lee Jung-jae menyifatkan sambutan terhadap siri ini luar biasa kerana ia berjaya menggabungkan tema besar dengan kisah peribadi yang menyentuh. Manakala Lee Byung-hun, yang memegang watak Front Man, percaya mesej politik dan sosial siri ini adalah faktor utama kejayaannya di seluruh dunia.
“Ramai penonton, walau berbeza budaya dan bahasa, tetap memahami mesej mendalam yang dibawa,” katanya.
Hwang juga mengesahkan bahawa musim ketiga ini adalah yang terakhir, namun tidak menolak kemungkinan akan hadir dengan filem atau spin-off pada masa hadapan.
“Squid Game” Musim 3 dijadualkan ditayangkan pada 27 Jun ini, dan bakal menjadi penamat kepada fenomena global yang mencipta sejarah dalam dunia penstriman.



Comments