Siti Nurhaliza: Gelaran Legenda Jadi Semangat, Bukan Tekanan
- E. Guan
- Sep 22
- 2 min read
Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa terharu dan tidak menyangka apabila namanya disenaraikan oleh SeaAsia Stats sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara selepas berjaya meraih lebih 300 anugerah sepanjang lebih dua dekad berkarya dalam dunia seni.
Menurut penyanyi berusia 46 tahun itu, beliau tidak pernah menjangka pengiktirafan sebegini kerana segala usaha dilakukan hanya berlandaskan minat dan kecintaan terhadap muzik.“Alhamdulillah, terima kasih… saya sendiri tidak terfikir mengenai perkara ini kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti. Jika ada yang menghargai, saya bersyukur. Saya bekerja kerana minat, bukan semata-mata mengejar anugerah,” katanya.
Siti menegaskan, gelaran legenda tersebut bukanlah satu beban, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus berkarya dengan kualiti terbaik. “Status legenda itu satu penghargaan besar, tetapi saya tidak mahu ia menjadi tekanan. Yang penting, saya terus bekerja dengan baik kerana ia sudah menjadi tugas untuk membahagiakan orang. Kini saya berada dalam fasa memberi kembali kepada masyarakat melalui apa jua yang saya lakukan,” jelasnya.
Beliau turut menitip nasihat kepada penyanyi baharu agar sentiasa berusaha meningkatkan diri serta tidak mudah berputus asa. “Jangan cepat mengalah atau takut mencabar diri. Untuk kekal konsisten dalam industri, kita perlu berani mencuba, banyak bersabar, sentiasa mencari idea kreatif, serta menghargai semua pihak yang membantu,” ujarnya.
Untuk rekod, Siti pernah diiktiraf sebagai artis Malaysia yang paling banyak menerima anugerah oleh Malaysia Book of Records pada tahun 2001, malah berada di tangga ke-27 daripada 100 penghibur dunia dengan pencapaian anugerah tertinggi. Beliau juga menerima Anugerah Khas Biduanita Negara pada Anugerah Seni Negara 2024 dan terus aktif menghasilkan karya termasuk kolaborasi bersama artis tempatan dan antarabangsa.
Kehebatan Siti menempatkan namanya sebaris dengan legenda muzik Asia Tenggara lain seperti Iwan Fals (Indonesia), Regine Velasquez (Filipina), Stefanie Sun (Singapura) dan Bird Thongchai (Thailand).
Siti ditemui ketika menghadiri acara Stars On Court, Kejohanan Pickleball Paddle For Hope anjuran Yayasan Nurjiwa di Grand Pickleball Arena, Subang Jaya, yang turut disertai selebriti seperti Che Puan Sarimah Ibrahim, Ernie Zakri, Syamel, Sherry Alhadad, Dayah Bakar, Atu Zero, Sharif Zero, Ali Reza, Tracie Sinidol, Farisha Iris, Anas Ridzuan dan Zahid.







Comments