Sidang Kemuncak Filem & TV ASEAN Kukuhkan Kerjasama Serantau, Lonjak Industri Perfileman ke Peringkat Global
- TW
- Jul 24, 2025
- 2 min read
KUALA LUMPUR, 25 Julai 2025 – Penganjuran pertama Sidang Kemuncak Filem dan Televisyen ASEAN bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kerjasama penerbitan bersama (co-production) antara negara-negara Asia Tenggara, khususnya dalam bidang perfileman dan kandungan kreatif.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, acara tiga hari yang berlangsung di GSC MyTown, Cheras ini melibatkan kolaborasi strategik bersama beberapa entiti utama industri seperti Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest), Rangkaian Gabungan Filem Asia (AFAN), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).
Sepanjang sidang kemuncak ini, pelbagai sesi diskusi, tayangan dan dialog melibatkan penggiat industri dari negara-negara ASEAN dijadualkan bagi memantapkan hubungan dua hala dan membina landasan kerjasama serantau yang lebih kukuh dalam penerbitan filem dan televisyen.
“Matlamat utama sidang kemuncak ini adalah untuk mewujudkan pelan tindakan terperinci dalam memperluas kerjasama penerbitan bersama di peringkat ASEAN. Meskipun Malaysia telah memeterai beberapa kerjasama co-production dengan negara lain secara individu, kita masih belum memiliki memorandum persefahaman (MoU) khusus di peringkat serantau. Justeru, inisiatif kali ini diharapkan mampu membawa perbincangan tersebut ke arah realiti,” jelas Nie Ching.
Beliau turut menyatakan harapan agar sidang kemuncak ini merangsang cadangan-cadangan baharu berkaitan pembangunan infrastruktur dan inovasi dalam ekosistem filem ASEAN. Malaysia juga optimis untuk mengembangkan jalinan kolaborasi bersama agensi luar rantau seperti dari Eropah dan Asia Timur.
Menyorot kejayaan industri tempatan, Nie Ching memuji prestasi filem animasi tempatan seperti Ejen Ali The Movie 2 yang berjaya mengutip RM59 juta – pencapaian tertinggi bagi filem animasi tempatan. Ini, katanya, menjadi bukti kemampuan Malaysia dalam menghasilkan kandungan berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Pasaran ASEAN yang meliputi populasi sekitar 600 juta memberi ruang besar untuk kita menerokai potensi pasaran serantau melalui strategi penerbitan bersama. Dengan pelaksanaan co-production yang kukuh, industri filem dan TV kita boleh menembusi pasaran lebih luas,” tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Pengasas MIFFest, Joanne Goh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Setiausaha Agung AFAN, Lorna Tee; dan Naib Presiden MBM, Dhanesh Basil.
Sementara itu, Azmir menyifatkan penganjuran sidang kemuncak ini sebagai platform strategik untuk merancang pelbagai projek baharu melalui latihan, kerjasama dan pertukaran kepakaran yang boleh membawa kandungan tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Kita menyediakan pelbagai slot seperti sesi panel, tayangan filem, perbincangan terbuka serta bengkel ‘masterclass’. Kesemua ini memberi peluang luas untuk membentuk masa depan sinema ASEAN secara kolektif,” katanya.
Sidang Kemuncak Filem & TV ASEAN merupakan platform penting yang menghimpunkan pemain utama industri kreatif dari seluruh rantau bagi membincangkan dasar, menjalin kerjasama strategik, serta meneroka teknologi, inovasi dan peluang pasaran baharu untuk kandungan serantau. Ia turut menjadi mercu tanda kepada komitmen Malaysia dalam mengangkat seni dan budaya ASEAN ke pentas dunia.







Comments