top of page

Sean Kingston & Ibu Dipenjara Akibat Konspirasi Penipuan Barangan Mewah

  • E. Guan
  • Aug 18, 2025
  • 2 min read

Penyanyi terkenal Sean Kingston dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan selepas didapati bersalah dalam skim penipuan bernilai lebih AS$1 juta (RM4.5 juta), dengan memperdayakan peniaga bagi mendapatkan barangan mewah tanpa membuat bayaran.

Kingston, atau nama penuhnya Kisean Paul Anderson, bersama ibunya,


Janice Eleanor Turner, disabitkan bersalah oleh juri Persekutuan pada Mac lalu atas pertuduhan berkomplot melakukan penipuan dalam talian serta empat pertuduhan penipuan lain. Turner sebelum ini menerima hukuman penjara lima tahun pada bulan lalu.


Sebelum keputusan dibacakan, Kingston memohon maaf di mahkamah dan mengakui kesilapan lalu. Namun, permohonan peguamnya agar beliau diberi masa untuk menyerah diri atas alasan kesihatan ditolak. Hakim Persekutuan, David Leibowitz, mengarahkan penyanyi berusia 35 tahun itu terus ditahan selepas perbicaraan.


Pendakwa raya, Marc Anton, menggambarkan Kingston sebagai individu yang “ketagih gaya hidup glamor” walaupun tidak mampu menanggungnya. Menurutnya, Kingston bergantung kepada status selebriti untuk menipu mangsa, sambil menegaskan: “Dia seorang pencuri dan penipu.”


Siasatan mendapati dari April 2023 hingga Mac 2024, Kingston menggunakan media sosial untuk mengatur pembelian barangan mewah seperti kenderaan kalis peluru Escalade, jam tangan mewah dan televisyen LED 19 kaki. Beliau dan ibunya memberikan resit pemindahan wang palsu kepada mangsa, sedangkan pembayaran tidak pernah dibuat.


Peguam bela, Zeljka Bozanic, berhujah bahawa Kingston masih berfikiran seperti remaja ketika mula terkenal, tidak pernah diajar mengurus kewangan, dan hanya bergantung kepada pengurus serta ibunya. Menurutnya, Kingston telah mula membayar semula sebahagian mangsa dan berhasrat melangsaikan semua hutang selepas bebas nanti.


Walau bagaimanapun, hakim menolak dakwaan bahawa Kingston naif, tetapi mengakui beliau menerima tanggungjawab tanpa cuba menipu mahkamah — berbeza dengan ibunya yang didapati cuba menghalang proses perbicaraan.


Kingston dan Turner ditahan pada Mei 2024 selepas kediaman mewah sewa mereka di Fort Lauderdale diserbu pasukan SWAT. Kingston sendiri ditahan di Fort Irwin, Gurun Mojave, California ketika membuat persembahan.


Dilahirkan di Florida dan dibesarkan di Jamaica, Kingston mula dikenali pada usia 17 tahun melalui lagu popular Beautiful Girls (2007). Antara lagu lain yang menaikkan namanya termasuk Take You There (2007) dan Fire Burning (2009).

Comments


bottom of page