top of page

“Saya Redha dan Halalkan Segalanya” – Wan Maimunah

  • Adi Dit
  • Aug 26, 2025
  • 1 min read


PUTRAJAYA, 25 Ogos 2025 – Pelakon veteran, Wan Maimunah, 68, memilih untuk menutup lembaran hitam dalam karier seninya apabila memutuskan untuk menghalalkan segala bayaran yang pernah tertunggak, walaupun dirinya pernah dianiaya pihak produksi.


Aktres yang mesra dipanggil Ibu itu mendedahkan, ada drama yang pernah dilakonkannya langsung tidak dibayar, namun beliau enggan menyimpan dendam.


“Dulu saya pernah bertegas, walau satu sen pun saya tidak akan halalkan. Tetapi selepas melalui pengalaman hidup, Allah beri saya ketenangan untuk memaafkan. Saya serahkan segalanya pada Allah agar mereka diberi kesedaran,” katanya dengan suara sebak ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Kejohanan Golf Amal PEKEMA 2025 di Hotel Marriot, malam tadi.


Wan Maimunah menjelaskan beliau tidak berniat mendedahkan nama syarikat produksi terbabit, biarpun ditanya beberapa pihak termasuk Presiden SENIMAN, Zed Zaidi.

“Saya tidak mahu menutup periuk nasi orang lain. Jika saya dedahkan, mungkin rezeki mereka terjejas. Biarlah Allah yang membalas,” katanya.


Pelakon yang sinonim dengan gelaran pelakon air mata itu juga memaklumkan, selepas pulang daripada menunaikan haji tahun lalu, beliau tekad untuk berehat seketika daripada dunia seni.


“Hati saya sudah terlalu letih kerana sering ditipu. Saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat. Kalau bukan melalui lakonan, Allah akan beri dari jalan lain,” ujarnya penuh makna.


Pada majlis sama, Wan Maimunah turut menerima sumbangan khas bersama beberapa penggiat seni lain sempena Kejohanan Golf Amal PEKEMA 2025 anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).

Comments


bottom of page