top of page

SARA RM100: Artis Berkemampuan Sedia Kongsi Rezeki Dengan Rakan Seindustri

  • A. Zahid
  • Sep 11, 2025
  • 2 min read

Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, malah berpotensi membuka ruang kebajikan dalam kalangan artis tempatan untuk menyalurkan rezeki kepada rakan seindustri yang lebih memerlukan.


Sehubungan itu, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mempertimbang usaha mengumpulkan bantuan SARA daripada artis berkemampuan bagi disalurkan kepada kru dan penggiat seni yang serba kekurangan. Namun, Presidennya, Zed Zaidi, menjelaskan pelbagai aspek perlu diperhalusi sebelum inisiatif tersebut dapat direalisasikan.


“Memandangkan bantuan ini baru mula disalurkan pada 31 Ogos lalu, kami perlukan masa untuk memahami proses agihan. Tambahan pula, terdapat isu teknikal seperti gangguan sistem pada peringkat awal. SENIMAN perlu menilai penambahbaikan sebelum melaksanakan program khusus,” katanya.


Beliau menegaskan, penggunaan maklumat peribadi seperti nombor MyKad perlu mendapat persetujuan artis. “Mungkin ada artis yang tidak memerlukan bantuan, tetapi enggan maklumat peribadi mereka digunakan. Perkara ini perlu dibincang dengan teliti, termasuk memastikan ia tidak bercanggah dengan undang-undang,” jelasnya.


Jika dapat dilaksanakan, Zed percaya inisiatif ini bakal memberi manfaat besar kepada pekerja seni yang lebih terdesak. “Artis yang tidak menggunakan bantuan ini boleh bekerjasama dengan SENIMAN bagi mewujudkan program kebajikan khas. Insya-Allah, kami akan usahakan,” tambahnya.


Pelakon Anzalna Nasir antara artis yang menyuarakan hasrat menyerahkan bantuan yang diterimanya kepada mereka yang lebih layak. “Setakat ini, saya belum gunakan bantuan itu. Saya akan fikirkan cara terbaik untuk menyerahkan bahagian saya dan juga suami, jadi jumlahnya RM200,” katanya.


Sementara itu, penyanyi Aina Abdul memilih untuk memanfaatkan bantuan tersebut bagi keluarga. “Saya gunakan SARA untuk membeli barang dapur, terutama untuk ibu. Lebih baik ia dimanfaatkan untuk keluarga berbanding simpan sahaja,” katanya.


Bantuan SARA diumumkan sempena sambutan Hari Kebangsaan, melibatkan peruntukan RM2 bilion dan memberi manfaat kepada lebih 22 juta rakyat. Bantuan ini dikreditkan secara automatik ke MyKad dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 4,100 rakan niaga seluruh negara, termasuk menerusi program Jualan Rahmah.

Comments


bottom of page