top of page

RWMF Komited Ubah Mindset Demi Kelestarian Alam — STB

  • TW
  • Jun 23, 2025
  • 1 min read

KUCHING, 22 Jun 2025 – Sarawak Tourism Board (STB), penganjur utama Rainforest World Music Festival (RWMF), menegaskan mereka bukan sekadar mempromosikan muzik dan budaya, tetapi juga menyeru perubahan minda dalam menjaga alam sekitar.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor, usaha kelestarian ini bukan sekadar gagasan di atas kertas, tetapi telah dijelmakan menerusi inisiatif konkrit di tapak festival. Antara langkah yang diambil ialah menyediakan stesen eko pada 40 lokasi strategik agar pengunjung dapat menambah air tanpa menggunakan botol plastik sekali guna. Selain itu, penggunaan botol plastik plastik dilarang masuk ke kawasan festival sebagai usaha untuk mengurangkan penggunaan bahan tersebut.


Walaupun beliau mengakui mencabar untuk mengubah rutin penggunaan plastik dalam kalangan orang ramai, terutama mereka yang sudah terbiasa dengan amalan tersebut, Sharzede berharap usaha pendidikan berterusan ini akan mampu mendidik masyarakat, khususnya generasi muda, untuk lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.


Festival muzik dunia yang kini memasuki edisi ke-28 ini juga menampilkan pelbagai program tambahan seperti bengkel warisan budaya dan persembahan irama global serta tradisional — sekali gus menyerlahkan mesej "One Earth, One Love" sebagai tema utama festival yang menggabungkan kepelbagaian budaya dan kesedaran alam sekitar.


Dengan kehadiran persembahan antarabangsa seperti Earth, Wind & Fire Experience by Al McKay bersama artis global dan tempatan lain, RWMF tidak hanya menjadi pentas muzik tetapi juga platform mendidik komuniti global tentang pentingnya kelestarian alam. Festival ini sekali lagi membuktikan kekuatan pengaruh seni dan pendidikan awam dalam memupuk tanggungjawab bersama terhadap lingkungan hidup.

Comments


bottom of page