top of page

RM42.17 Bilion Sudah Disalurkan Kepada 1MDB Setakat Julai 2025 – MOF

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Aug 14
  • 2 min read

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa sejumlah RM42.17 bilion telah disalurkan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setakat 31 Julai 2025 bagi membiayai bayaran hutang dan memenuhi komitmen syarikat tersebut.


Daripada jumlah itu, sebanyak RM15.44 bilion datang daripada dana kementerian dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dalam bentuk pinjaman serta pendahuluan pemegang saham. Manakala baki RM26.73 bilion diperoleh melalui hasil pemulihan aset 1MDB.


Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi portal Dewan Rakyat hari ini, MOF menjelaskan bahawa daripada keseluruhan dana yang disalurkan, RM28.93 bilion digunakan untuk pembayaran prinsipal hutang manakala RM13.24 bilion lagi bagi menampung bayaran faedah serta pelbagai komitmen syarikat.


Kementerian turut memaklumkan bahawa baki hutang 1MDB yang masih belum diselesaikan ketika ini berjumlah RM9.02 bilion. Ia melibatkan bayaran prinsipal berjumlah RM5 bilion dan faedah RM4.02 bilion, yang merangkumi Sukuk Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) dan dijangka dibayar sehingga tahun 2039.


Dalam masa sama, kerajaan turut menanggung hutang syarikat SRC International Sdn Bhd dengan menyalurkan RM5.35 bilion bagi pembayaran prinsipal, faedah serta memenuhi komitmen syarikat tersebut.


MOF menegaskan bahawa kerajaan semasa kekal komited dalam usaha mendapatkan semula semua dana yang telah diseleweng daripada 1MDB dan SRC, dengan matlamat utama untuk melunaskan hutang dan memenuhi tanggungan kewangan yang masih berbaki.


Sejak penubuhan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset pada Disember 2018, kerajaan telah berjaya memulihkan sejumlah RM29.7 bilion dana berkaitan kes 1MDB dan SRC. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10.9 bilion berjaya dikembalikan kepada negara dalam tempoh antara 2022 hingga 30 Jun 2025.


Pendedahan ini dibuat sebagai jawapan bertulis kepada pertanyaan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang meminta penjelasan mengenai jumlah dana awam yang telah berjaya dipulihkan kerajaan sejak 2022, termasuk pemulangan aset melibatkan kes-kes berprofil tinggi seperti 1MDB.

Comments


bottom of page