Raja Permaisuri Agong: Buli Sekolah Sudah Jadi Budaya Buruk, Anak-Anak Tidak Patut Hidup Dalam Ketakutan
- Adi Dit
- Aug 19, 2025
- 1 min read
KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap budaya buli yang semakin berakar umbi di sekolah-sekolah di Malaysia. Baginda menegaskan fenomena ini berlaku lebih kerap daripada yang disangka, sehingga menimbulkan trauma besar kepada anak-anak, remaja, dan belia.
“Sekolah dan universiti sepatutnya menjadi tempat selamat, bukan mimpi ngeri. Anak-anak tidak wajar merasa takut untuk belajar, sementara ibu bapa pula tidak seharusnya menanggung kebimbangan keselamatan anak mereka, sedang mereka sudah cukup terbeban dengan masalah lain,” titah Seri Paduka dalam blog peribadi.
Raja Zarith Sofiah turut menekankan bahawa setiap nyawa yang terkorban akibat buli mesti menjadi peringatan agar tragedi sama tidak berulang. Baginda mengimbau kes-kes tragis termasuk kadet tentera laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkifli, serta mendiang T Nhaveen yang meninggal dunia akibat penderaan rakan sebaya.
Menurut baginda, ramai mangsa memilih untuk berdiam diri kerana takut rakan lain menjadi sasaran jika pembuli dilaporkan. Ada yang bernasib baik dapat berpindah sekolah, namun lebih ramai terpaksa terus menanggung penderitaan dalam diam.
“Sudah bertahun-tahun, kita mendengar berita tentang mangsa buli yang meruntun hati. Tanggungjawab kita bersama sebagai masyarakat ialah memastikan penderitaan ini dihentikan, dan setiap kes tidak berakhir dengan sia-sia,” titah baginda.







Comments