top of page

Qurratu’Ain Izdihar Berharap Wakili Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025

  • Adi Dit
  • Aug 5, 2025
  • 1 min read

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pelari sensasi boling negara, Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi, meluahkan harapannya untuk terpilih mewakili Malaysia ke temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, selepas mencipta kejutan dengan membawa pulang lima pingat emas dalam Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun yang berlangsung di Doha, Qatar baru-baru ini.


Atlet muda berusia 17 tahun dari Selangor itu mengakui menyertai temasya sukan serantau seperti Sukan SEA merupakan impian utama bagi mana-mana atlet muda sebelum melangkah ke pentas lebih tinggi dalam kerjaya sukan mereka.


“Sudah tentu saya ingin mewakili negara ke Sukan SEA. Tapi buat masa ini, fokus saya adalah pada latihan dan Kejohanan Remaja Asia yang akan datang di Sunway Megalanes. Insya-Allah, kalau diberi peluang, saya mahu buru emas lagi,” katanya.


Dalam kejohanan di Doha, skuad remaja boling negara secara keseluruhan berjaya mengutip tujuh emas, satu perak dan lima gangsa. Qurratu’Ain sendiri menyumbang lima daripada tujuh emas tersebut – satu pencapaian membanggakan bagi atlet seusianya.


Mengimbas semula detik kejayaan itu, beliau mengakui bukan mudah untuk mengekalkan prestasi kerana perlu membahagikan masa antara latihan intensif dan persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.


“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana tidak menyangka mampu menang lima emas daripada tujuh acara. Semua pertandingan sangat mencabar, tapi dengan bimbingan jurulatih dan sokongan keluarga, saya dapat kekalkan fokus dan konsistensi.


“Cabaran paling besar sebenarnya ialah menyeimbangkan pelajaran dengan latihan, sebab sekarang musim peperiksaan percubaan. Tapi lepas kejayaan ini, saya lebih bersemangat untuk beri tumpuan penuh pada kedua-duanya – akademik dan kejohanan,” jelasnya.


Qurratu’Ain kini menjadi antara bakat paling menonjol dalam arena boling remaja Malaysia, dan harapan tinggi diletakkan agar beliau dapat terus menyinar di pentas antarabangsa.

Comments


bottom of page