Putrajaya Serius Libatkan Sarawak & Sabah Dalam Isu Sempadan
- Camelia K
- Jul 30
- 1 min read
Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen untuk mendapatkan pandangan kerajaan Sarawak dan Sabah dalam setiap perbincangan berkaitan isu sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang keputusan mengenai sempadan, sama ada darat mahupun maritim, perlu mengambil kira pandangan kedua-dua negeri di Borneo itu.
Beliau menjelaskan, kerajaan sentiasa menekankan prinsip kerjasama erat bagi memastikan penyelesaian isu sempadan dibuat secara menyeluruh dan tidak mengabaikan kepentingan Sabah serta Sarawak.
“Kita mahu setiap keputusan bukan sahaja berpihak kepada kerajaan Persekutuan, tetapi juga membawa manfaat kepada rakyat di kedua-dua negeri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkaitan keselamatan sempadan di Kuching.
Tambah Saifuddin, usaha ini selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mengiktiraf kedudukan khas Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Beliau turut memaklumkan, rundingan dengan negara jiran mengenai isu sempadan masih diteruskan secara diplomatik, dengan mengambil kira semua aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan terbabit.







Comments