top of page

PRN Sabah: Zahid Tekankan Fokus BN Adalah Menang

  • Adi Dit
  • Sep 2
  • 1 min read


PUTRAJAYA, 2 Sept 2025 – Barisan Nasional (BN) menegaskan tumpuan utama mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung tahun ini adalah untuk memastikan kemenangan di kerusi yang ditandingi.


Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan, namun perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum selesai.


“Yang penting ialah kemenangan. Fokus kita adalah kerusi yang boleh dimenangi, itu keutamaan kita,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pagi ini.


Menyentuh kebuntuan rundingan dengan GRS, Zahid menegaskan BN tetap akan menggunakan lambang dacing pada PRN akan datang. “Kalau isu ini tidak dapat diselesaikan, pendirian kita jelas – kita tidak akan guna apa-apa lambang lain,” katanya.


Sebelum ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menolak sebarang kerjasama dengan UMNO atau BN, dengan alasan mahu memperkukuhkan GRS sebagai gabungan politik berteraskan Sabah.


Zahid turut mengakui BN tidak dapat mengelak risiko pertandingan banyak penjuru di Sabah, walaupun agihan kerusi bersama PH sudah pun dimuktamadkan tanpa pertindihan.

Comments


bottom of page