Polis Siasat Insiden Provokasi dan Rempuhan Ketika Perhimpunan di Jalan Parlimen
- Camelia K
- Aug 14
- 1 min read
KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan susulan kejadian provokasi dan rempuhan terhadap anggota keselamatan oleh peserta sebuah perhimpunan dan penyerahan memorandum yang berlangsung di Jalan Parlimen pada Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya mengesan video insiden tersebut yang tular di aplikasi TikTok, memaparkan peserta perhimpunan merempuh barisan polis yang sedang bertugas mengawal kawasan terbabit.
Menurutnya, kejadian itu telah mengakibatkan seorang pegawai polis mengalami kecederaan dan menerima rawatan.
“Satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman dan tertib, selaras dengan prinsip demokrasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan atau provokasi melampau yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Polis komited untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi mana-mana program seumpama itu, dengan syarat ia dilaksanakan secara berhemah dan mengikut lunas undang-undang.







Comments