PN Sedia Pertimbang Hasrat Gerakan Guna Logo Sendiri di Pulau Pinang pada PRU16
- A. Zahid
- Oct 2, 2025
- 1 min read
Perikatan Nasional (PN) terbuka untuk mempertimbangkan hasrat Parti Gerakan Pulau Pinang menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekiranya langkah tersebut diyakini mampu menarik sokongan pengundi di negeri berkenaan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata perkara itu boleh dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi gabungan sekiranya alasan yang diberikan mempunyai asas kukuh, khususnya dalam usaha mendekati pengundi Cina.
“Kalau mereka (Gerakan) kata boleh ‘tackle’ pengundi Cina, itu bagus. Saya tidak nampak ada masalah. Tetapi jangan pula bertanding di kawasan majoriti Melayu, memang susah untuk menang. Jika logiknya begitu, bawalah perkara ini ke mesyuarat PN, mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan TV Kedah di Wisma Darul Aman, Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong, menyatakan hasrat untuk kembali menggunakan identiti parti sendiri pada PRU16. Beliau berharap kepimpinan Gerakan Pusat dapat memohon kebenaran agar dibenarkan bertanding menggunakan logo Gerakan, memandangkan PN sebelum ini pernah membenarkan parti komponennya berbuat demikian.
Sanusi dalam pada itu menegaskan isu tersebut tidak menimbulkan sebarang konflik dalaman dalam kalangan parti komponen PN. “Tiada bibit pertelingkahan akibat isu ini,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pada PRU lalu, calon PN secara umumnya menggunakan logo gabungan itu, kecuali di Kelantan dan Terengganu, di mana calon dibenarkan bertanding dengan logo Pas kerana faktor sosio-politik setempat.
“Negeri lain termasuk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang semuanya menggunakan logo PN. Jadi saya rasa perkara ini tidak menimbulkan masalah besar,” katanya lagi.
Hasrat Gerakan ini dilihat sebagai strategi memperkukuh kedudukan parti tersebut di Pulau Pinang, di mana sokongan pengundi Cina masih menjadi faktor penentu dalam politik negeri itu.







Comments