top of page

PM Anwar Adakan Pertemuan Tertutup Bersama Ketua-Ketua Cabang PKR Negeri Sembilan

  • TW
  • Jul 21
  • 1 min read

SEREMBAN, 20 Julai 2025 – Perdana Menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meluangkan hampir sejam untuk sesi pertemuan tertutup dengan hampir 1,000 ahli PKR negeri ini. Acara tersebut berlangsung pada Seminar Pemantapan Organisasi Parti dan jelajah presiden di sebuah hotel di Seremban hari ini.


Turut hadir ialah Naib Presiden dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan; serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh, ketua sayap Wanita (Fadhlina Sidek) dan AMK (Muhammad Kamil Munim).


Sesi tertutup yang diadakan selepas majlis rasmi itu membabitkan dialog langsung bersama ketua-ketua cabang, tanpa mengira samada mereka calon yang menang atau tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini. Menurut Fuziah Salleh, tujuan pertemuan ini adalah untuk merapatkan semula hubungan antara pihak atasan dan akar umbi, melangkaui sentimen persaingan dalaman—"kita bukan berlawan dengan musuh, kita berlawan sesama adik-beradik".


Antara intipati penting yang ditekankan dalam sesi sembang tersebut ialah penafian bahawa terdapat cadangan untuk menggantung keahlian sembilan Ahli Parlimen yang sebelum ini lantang menyuarakan kritikan terhadap isu campur tangan dalam badan kehakiman. Anwar dilaporkan menegaskan bahawa tiada sebarang tindakan disiplin yang diambil kerana semua wakil tersebut masih dalam hak demokrasi mereka untuk menyuarakan isu rakyat; hanya disarankan supaya berlaku perbincangan dalaman terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan kepada media.

Comments


bottom of page