top of page

Penganalisis: U-turn Isu GST Cetus Keraguan Terhadap Arah Dasar Perikatan Nasional

  • TW
  • Jun 19
  • 1 min read

KUALA LUMPUR, 19 Jun 2025 – Ketidakkonsistenan Perikatan Nasional (PN) dalam menyatakan pendirian berhubung pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menimbulkan tanda tanya terhadap kejelasan halatuju dasar gabungan itu, menurut seorang penganalisis politik.


Penganalisis dasar awam, Ariff Aizuddin Azlan, berkata kenyataan bercanggah daripada pemimpin PN hanya memburukkan persepsi rakyat dan pelabur terhadap kebolehan mereka mentadbir dengan dasar ekonomi yang kukuh.

“Isu GST ini ibarat cerminan kepada ketidakstabilan pendekatan dasar mereka. Bila satu pihak kata ya, satu lagi kata belum tentu, ia menampakkan kegagalan menyelaras naratif parti,” ujar Ariff.

Menurutnya lagi, rakyat kini semakin peka terhadap dasar-dasar ekonomi dan melihat kejelasan serta konsistensi sebagai penanda aras utama dalam menilai kesediaan sesebuah parti untuk memimpin negara.


Ariff turut menegaskan bahawa dalam konteks pasca-pandemik dan ketidaktentuan ekonomi global, dasar fiskal seperti GST memerlukan penjelasan yang teliti, bukan sekadar kenyataan bersifat reaktif atau populis.

“Kalau PN benar-benar mahu meyakinkan rakyat, mereka perlu tampil dengan pelan pelaksanaan yang jelas dan seragam, bukan kenyataan bercanggah yang akhirnya menimbulkan keraguan,” tambahnya.

Beliau turut menyarankan agar PN memperkemas komunikasi dasar di peringkat kepimpinan tertinggi serta menyusun strategi penerangan yang menyeluruh agar tidak terus dilihat sebagai longgar dari segi halatuju ekonomi.


Dalam suasana politik yang kian mencabar menjelang PRU-16, tindakan PN dalam menangani isu-isu dasar seperti GST dijangka menjadi penentu kepada tahap kepercayaan pengundi terhadap kredibiliti mereka sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada.

Comments


bottom of page