Pemuda PAS Selangor Desak MB Terima Usul Bahas Kebakaran Putra Heights
- TW
- Jul 7
- 2 min read
SHAH ALAM, 6 Julai 2025 – Pemuda PAS Selangor hari ini menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, agar tidak mengelak daripada tanggungjawab berhubung insiden kebakaran dan kebocoran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, April lalu. Mereka mendesak agar usul tergempar yang dibawa Ketua Pembangkang Selangor, Mohamed Azmin Ali, dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri, dibenarkan untuk dibahas dalam sidang Dewan Negeri Selangor.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, menuduh Amirudin bersikap tidak berani dengan memilih untuk mengadakan taklimat tertutup kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding membenarkan perbahasan terbuka.
“Saya minta Menteri Besar jangan bacul. Terima usul tergempar yang dibawa Pengerusi PN Selangor, Azmin Ali. Jangan buat seolah-olah Adun ini macam budak sekolah, hanya diberi taklimat,” tegas beliau dalam sidang media selepas Himpunan Turun Anwar di Shah Alam.
Amirudin sebelum ini memaklumkan bahawa satu taklimat khas bersama semua ADUN akan diadakan pada 8 Julai untuk menjelaskan laporan akhir insiden tersebut, susulan kritikan yang mendakwa laporan sedia ada kurang lengkap dan tidak mengandungi maklumat penting.
Mohamed Sukri menggesa agar isu itu dibahaskan secara telus di dewan dan bukan disorokkan dalam taklimat tertutup. “Wakil rakyat perlu diberi ruang untuk bersuara. Ini isu keselamatan awam. Bukan masa untuk berpolitik secara tertutup,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tragedi itu sebagai manifestasi kegagalan pentadbiran kerajaan perpaduan yang didakwa tidak cekap dan tidak telus dalam mengurus isu-isu keselamatan.
Pada masa sama, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap laporan siasatan yang dikemukakan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), kerana terlalu bergantung kepada dapatan jawatankuasa siasatan dalaman.
Sebelum ini, JKKP menjelaskan bahawa paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal, namun bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya akibat keadaan tanah yang lembut dan lembap. Polis Selangor turut mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian, dan mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut.
Namun bagi Pemuda PAS, laporan ini tidak mencukupi dan menimbulkan lebih banyak persoalan, justeru satu perbahasan terbuka perlu dibenarkan agar rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh dan telus.







Comments