top of page

Pembantu Rumah dan Pekerja Kilang Disyaki Jadi GRO Ditahan Imigresen

  • Adi Dit
  • Aug 5, 2025
  • 1 min read

BUKIT MERTAJAM, 4 Ogos – Seramai 12 wanita warga asing ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang awal pagi tadi kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan.


Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman, serbuan yang dilakukan sekitar jam 1.30 pagi hasil risikan dan maklumat awam itu berjaya mengesan taktik licik segelintir wanita yang bekerja siang hari sebagai pembantu rumah atau operator kilang, tetapi menjadi GRO pada waktu malam dengan caj sehingga RM250 sejam.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada tujuh warga Thailand, tiga dari Indonesia dan dua dari Vietnam. Salah seorang suspek memiliki pas sah sebagai pembantu rumah, manakala yang lain pula dipercayai tinggal lebih masa tanpa dokumen sah.


“Ketika serbuan, mereka sedang leka melayan pelanggan. Siasatan awal menunjukkan mereka bekerja di premis berkenaan antara lima hingga enam bulan,” kata Basri.


Kesemua suspek disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan kerja dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya sebelum dihantar ke Depot Imigresen Jawi untuk tindakan lanjut.

Comments


bottom of page