Pelapis Kepimpinan: Kunci Kelangsungan Malaysia MADANI
- E. Guan
- Sep 22, 2025
- 2 min read
RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan pada Julai lalu dianggap sebagai titik bersejarah penting negara. Ia bukan sekadar pelan pembangunan lima tahun, tetapi sebuah dokumen dasar yang menggariskan asas kepada Gagasan Malaysia Madani, sebuah cita-cita besar untuk membina Malaysia yang lebih adil, makmur dan sejahtera.
Matlamatnya jelas: menyusun semula struktur ekonomi, meningkatkan daya saing, memperkukuh tadbir urus, mengangkat Malaysia sebagai peneraju rantau, dan memastikan rakyat biasa menikmati keadilan sosioekonomi.
Namun, persoalan utama tetap timbul; mampukah dokumen sehebat RMK13 benar-benar diterjemahkan dalam realiti? Sejarah berulang kali menunjukkan, sehebat mana pun gagasan, ia tidak akan berjaya jika kepimpinan kolektif rapuh. Empayar Uthmaniyah pernah bertahan berabad lamanya, melahirkan peradaban besar dan menguasai tiga benua. Tetapi apabila perebutan kuasa mula mencengkam, keagungan itu runtuh sedikit demi sedikit. Pengajarannya jelas: sebuah tamadun lebih cepat hancur kerana perpecahan dalaman berbanding serangan luar.
Hari ini, Malaysia berada di persimpangan serupa. Perdana Menteri memperlihatkan kesungguhan luar biasa untuk merealisasikan gagasan Madani, meskipun dihujani kritikan dan fitnah. Namun, perjuangan sebesar ini tidak boleh dipikul seorang diri. Menteri, timbalan menteri, teknokrat, dan jentera komunikasi kerajaan mesti menjadi benteng yang mengukuhkan keyakinan rakyat. Jika mereka gagal menjalankan tanggungjawab ini, gagasan besar Malaysia Madani akan dilihat tidak lebih daripada retorik politik.
Rakyat tidak membaca RMK13 seperti membaca teks akademik. Mereka menilai hasilnya berdasarkan dapur rumah tangga dan baki wang di dompet setiap hujung bulan. Persoalan mereka mudah: adakah harga barang turun? Adakah pekerjaan bertambah? Adakah gaji mencukupi? Oleh itu, Malaysia tidak boleh bergantung hanya pada seorang perdana menteri. Ia memerlukan barisan pemimpin pelapis yang versatil, iaitu:
Dekat dengan rakyat, turun padang memahami denyut nadi marhaen, bukan sekadar bermain politik elitis.
Teguh menghadapi lawan politik, mempertahankan dasar dengan berani sambil bijak membaca strategi pihak lawan.
Seimbang dari segi agama dan budaya, menjadi jambatan merentasi kepelbagaian, tanpa jumud atau terjebak dalam retorik sempit.
Pragmatik dalam keputusan, sanggup membuat pilihan sukar demi kepentingan negara walaupun tidak popular pada jangka pendek.
Tanpa barisan pelapis berwibawa, kesinambungan Madani terancam. Parti pemerintah harus serius melahirkan pemimpin muda dengan kompetensi teknokratik, kemahiran komunikasi massa, dan jiwa yang dekat dengan rakyat, bukan sekadar meletakkan nama baharu di pentas politik.
Bayangkan sebuah bangunan megah hasil rekaan arkitek hebat: pelannya sempurna, asasnya kukuh, namun jika tiang penopang retak, bangunan itu tidak akan lama bertahan. Malaysia Madani adalah bangunan itu; Anwar Ibrahim arkiteknya, manakala pasukan kepimpinan negara ialah tiangnya.
Jika keadaan ini dibiarkan, perdana menteri berjuang sendirian, pasukan lemah, rakyat semakin hilang sabar, Malaysia berisiko berdepan babak krisis kepimpinan yang boleh bertukar menjadi tragedi sebuah negara.







Comments