Norman Jelaskan KRU Tidak Pernah Umumkan Konsert GenKRU di Pulau Pinang
- Camelia K
- Aug 14
- 2 min read
KUALA LUMPUR – Ahli kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim tampil menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengumumkan atau menjual tiket bagi sebarang penganjuran Konsert GenKRU di Pulau Pinang, seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
Menurut Norman, kekeliruan timbul apabila ada pihak yang menyangka konsert kumpulan itu akan diteruskan di negeri-negeri lain selepas kejayaan empat malam Konsert GenKRU di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada Mei lalu.
“Sebenarnya, KRU tidak pernah umumkan atau lancarkan tiket untuk konsert di Pulau Pinang atau mana-mana negeri lain. Apa yang ada hanyalah hasrat awal untuk membawa Konsert GenKRU ke beberapa lokasi lain, namun selepas melihat aspek teknikal dan realiti penganjuran, kami mengambil keputusan untuk tidak meneruskan,” katanya dalam satu rakaman penjelasan kepada Astro AWANI hari ini.
Norman menjelaskan keputusan itu dibuat setelah meneliti tahap produksi dan konsep persembahan Konsert GenKRU di Axiata Arena yang dirasakan sukar untuk diulang semula di venue lain dengan standard yang sama.
“Kami percaya apa yang dipersembahkan di Axiata Arena adalah satu pengalaman unik. Kalau kami tidak mampu ulang kembali pengalaman itu dengan standard yang setanding, lebih baik kami tidak teruskan,” tambah beliau.
Jelasnya lagi, persembahan Konsert GenKRU di Kuala Lumpur telah pun dirakam dan akan disiarkan kepada umum sebagai hadiah buat peminat yang tidak sempat hadir.
“Ini juga sebagai cara untuk kami abadikan persembahan tersebut. Kami tidak mahu kecewakan peminat dengan persembahan yang tidak setara atau menyebabkan perbandingan yang menjejaskan pengalaman mereka,” katanya.
Walau bagaimanapun, Norman memaklumkan pihak KRU kini sedang meneliti cadangan untuk menganjurkan persembahan di luar Kuala Lumpur dengan jenama dan konsep berbeza agar peminat di negeri lain tetap dapat menikmati persembahan berkualiti tinggi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa kononnya Konsert GenKRU di Pulau Pinang hujung bulan ini dibatalkan bagi menjaga kualiti dan impak mega siri konsert mereka sebelum ini di ibu negara – yang dianggap sebagai satu penanda aras tinggi dalam sejarah penganjuran konsert tempatan.







Comments