Nadzmi Adhwa Cemas, Masih Menanti Khabar Ardell Aryana Sertai Konvoi Global Sumud Flotilla
- A. Zahid
- Oct 2
- 2 min read
Pelakon Nadzmi Adhwa mengakui berada dalam keadaan cemas dan tidak tenang selepas gagal mendapatkan perkembangan terkini mengenai isterinya, pelakon Ardell Aryana, yang kini mengikuti misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut Nadzmi, komunikasi terakhir dengan Ardell adalah menerusi siaran langsung di media sosial yang terputus sekitar jam 6 pagi tadi. Sejak itu, beliau tidak menerima sebarang maklumat baharu.
“Allahuakbar, ramai yang hubungi saya, tetapi saya tiada jawapan. Maaf sangat-sangat, kami juga sedang menunggu maklumat terkini. Saya pun dalam keadaan tidak stabil, malah kami cuba rahsiakan perkara ini daripada ibu mertua kerana tidak mahu dia terlalu bimbang,” katanya kepada BH Online hari ini.
Nadzmi turut memaklumkan bahawa Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) telah menghubunginya pagi tadi dan meminta waris Ardell berkumpul di pusat operasi bagi memantau perkembangan terkini kapal yang dinaiki isterinya.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan ketika ini. Dari jam 6 pagi sampai sekarang, tiada langsung khabar. Sekurang-kurangnya, peserta lain kita tahu sudah ditahan, tetapi Ardell masih tiada maklumat,” katanya dengan nada sebak.
Jelasnya lagi, beliau tidak tidur semalaman kerana mengikuti rapat perkembangan misi tersebut. “Selepas balik daripada penggambaran sekitar jam 1 pagi, saya terus pantau keadaan konvoi. Anak-anak pun gelisah, mungkin mereka dapat rasa sesuatu. Hanya selepas Subuh barulah mereka dapat tidur,” katanya.
Walaupun masih bimbang, Nadzmi tetap berusaha meneruskan rutin kerja harian. “Saya ada penggambaran jam 11 pagi ini. Selepas selesai, saya akan berbincang dengan keluarga Ardell mengenai bila kami akan ke Sumud Nusantara Command Centre,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nadzmi memohon doa seluruh rakyat Malaysia agar keselamatan Ardell serta sukarelawan lain sentiasa dilindungi. “Saya hanya mampu berserah kepada Allah. Saya reda, dan berharap semua mendoakan yang terbaik untuk Ardell serta seluruh peserta flotilla,” katanya.







Comments