My Chemical Romance Tambah Malam Kedua Konsert di KL, Satu-Satunya di Asia
- TW
- Jul 24, 2025
- 1 min read
KUALA LUMPUR – Menyedari sambutan luar biasa daripada peminat, penganjur Hello Universe Malaysia mengumumkan penambahan satu malam lagi untuk konsert My Chemical Romance (MCR) yang bakal berlangsung di ibu negara pada tahun hadapan.
Konsert tambahan itu dijadualkan pada 1 Mei 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), menjadikan Kuala Lumpur satu-satunya destinasi di Asia yang akan menyaksikan persembahan dua malam berturut-turut daripada kumpulan ikonik tersebut.
Tiket untuk malam kedua akan mula dijual pada 1 Ogos ini bermula jam 10 pagi. Sebelum ini, sebanyak 60,000 tiket untuk malam pertama habis dijual dalam tempoh hanya 90 minit selepas jualan dibuka pada jam 11 pagi.
Ramai peminat menyamakan pengalaman membeli tiket itu dengan 'perang siber', berikutan masalah teknikal yang melanda platform jualan. Laman web GoLive Asia dan Hello Universe Malaysia dilaporkan mengalami pelbagai gangguan, termasuk laman tidak boleh diakses, sistem tergendala sebelum jualan bermula, serta ralat pelayan (server error) selama lebih sejam.
Kehadiran MCR kali ini merupakan kemunculan semula mereka selepas lebih 18 tahun tidak mengadakan konsert di Malaysia. Kali terakhir kumpulan ini tampil di sini ialah menerusi jelajah The Black Parade World Tour pada tahun 2007–2008 di Stadium Merdeka, yang berjaya menarik lebih 10,000 penonton.
Kemunculan semula ini bukan sahaja membangkitkan nostalgia dalam kalangan peminat, tetapi juga memperlihatkan sambutan hangat terhadap muzik rock alternatif yang masih utuh dalam kalangan penggemar tempatan.



Comments