top of page

Mesyuarat GRS di Sri Gaya Cetus Tanda Tanya Mengenai Pembubaran DUN Sabah

  • A. Zahid
  • Oct 2, 2025
  • 1 min read

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, sempat melambai tangan sambil menitip ucapan ringkas “good night” kepada pengamal media sebelum meninggalkan kediaman rasminya, Sri Gaya, di Kota Kinabalu lewat malam Rabu.


Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dilihat keluar dengan kenderaan rasmi sekitar jam 11.27 malam, dipercayai sejurus selesai mempengerusikan mesyuarat bersama presiden parti komponen GRS.


Sapaan ringkas itu menimbulkan pelbagai spekulasi, khususnya berhubung kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan dalam masa terdekat atau wujudnya perbezaan pendapat dalam kalangan komponen GRS.


Difahamkan mesyuarat tersebut turut dihadiri beberapa presiden parti komponen utama, antaranya Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (STAR), Datuk Seri Joachim Gunsalam (PBS), Tan Sri Pandikar Amin Mulia (USNO), Tan Sri Anifah Aman (PCS), Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP), Datuk Seri Liew Yun Fah (Harapan Rakyat) dan Datuk Chin Su Phin (LDP).


Kesemua mereka dilihat tiba di Sri Gaya sekitar jam 7 malam dan meninggalkan perkarangan kediaman secara berperingkat mulai jam 9.45 malam.


Mesyuarat itu dipercayai turut menyentuh mengenai tarikh pembubaran DUN Sabah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.


Dalam masa sama, terdapat desas-desus bahawa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dikatakan mungkin menarik diri daripada GRS sekiranya gabungan tersebut meneruskan perancangan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).


Jeffrey sebelum ini turut menegaskan bahawa STAR tidak akan kekal dalam GRS jika mesyuarat memutuskan untuk meneruskan kerjasama pilihan raya bersama PH.

Perkembangan di Sri Gaya malam tadi sekali gus mengundang tanda tanya mengenai hala tuju politik Sabah, dengan ramai pemerhati menjangkakan pengumuman penting berhubung status pembubaran DUN bakal dibuat dalam tempoh terdekat.

Comments


bottom of page