Malaysia Tegas Perjuang Hak Pekerja di Peringkat Global – Steven Sim
- Camelia K
- Jun 11
- 1 min read
PUTRAJAYA, 11 Jun – Malaysia kini komited melaksanakan reformasi buruh yang lebih menyeluruh dan berani, merangkumi pemerkasaan pekerja, pengukuhan kesatuan, serta penyelarasan hak buruh merentasi seluruh negara termasuk dalam sektor ekonomi gig.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata negara sedang melangkah seiring dengan piawaian antarabangsa selepas meratifikasi Protokol C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dengan lebih 100 penambahbaikan dilaksanakan terhadap undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 di Geneva, Switzerland, sambil memaklumkan bahawa kerajaan turut menghapuskan pelbagai sekatan terhadap penubuhan kesatuan sekerja — langkah yang dijangka meningkatkan keanggotaan dan kekuatan suara pekerja.
Tambahnya, buat pertama kali dalam tempoh dua dekad, piawaian buruh di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah diselaraskan, memberikan hak dan perlindungan setara kepada semua pekerja tanpa mengira jantina, kaum atau wilayah.
Beberapa pencapaian turut dikongsi, termasuk peningkatan 20 peratus faedah keselamatan sosial yang kini turut meliputi pekerja asing, serta perlindungan sepanjang masa yang tidak terhad kepada kemalangan kerja. Selain itu, kadar gaji minimum naik 13 peratus, purata gaji bulanan meningkat 11 peratus, dan kadar pengangguran kini terendah dalam satu dekad.
Rang Undang-Undang Pekerja Gig juga kini berada di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.
Sim menegaskan bahawa meskipun Malaysia sebuah negara kecil, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kesejahteraan pekerja, sambil mengulangi komitmen terhadap kerjasama serantau melalui Deklarasi Kuala Lumpur di bawah ASEAN.







Comments