top of page

Malaysia Sasarkan Status Peneraju AI Serantau Menjelang 2030

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Sep 10, 2025
  • 1 min read

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Malaysia sedang memperhebat langkah untuk mencapai aspirasi sebagai negara kecerdasan buatan (AI) termaju di rantau ini menjelang 2030, selaras dengan hala tuju dasar AI Negara yang digariskan menerusi inisiatif AI Nation 2030.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan teknologi tidak seharusnya hanya menjadi slogan kosong, sebaliknya mesti memberi impak nyata kepada produktiviti negara dan kesejahteraan rakyat.


Dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan beliau semalam, Anwar menegaskan keperluan mempercepat pendigitalan perkhidmatan kerajaan, termasuk menerusi pembangunan MyGov Malaysia – satu platform sehenti yang menyatukan pelbagai urusan kerajaan di bawah satu aplikasi.


Beliau turut mengarahkan agar semua kementerian dan agensi kerajaan segera mengintegrasikan perkhidmatan masing-masing ke dalam aplikasi tersebut, bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kepada rakyat.


Dalam masa sama, peluasan penggunaan MyDigital ID juga terus digiatkan dengan sasaran mencapai 15 juta pendaftaran menjelang akhir tahun ini. Proses pendaftaran turut disokong oleh sistem pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara.


Anwar menekankan bahawa pembangunan infrastruktur digital yang menyeluruh dan inklusif amat penting bagi memastikan manfaat ekonomi digital dirasai secara meluas. Justeru, kerajaan bercadang memperluaskan capaian internet bukan sahaja ke universiti awam, malah ke institusi lain seperti Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan pusat Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).


Katanya, pelaburan dalam infrastruktur ini adalah asas untuk melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital yang mampan di peringkat serantau.

Comments


bottom of page