top of page

Malaysia Kekal Ahli Majlis ICAO Kategori III Bagi Penggal 2025–2028

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Oct 1, 2025
  • 1 min read

PUTRAJAYA, 1 Okt — Malaysia berjaya mengekalkan kerusi sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III bagi penggal 2025 hingga 2028, selepas meraih 154 undi dalam pemilihan yang berlangsung di Montreal, Kanada semalam.


Pengumuman rasmi dibuat semasa Perhimpunan Agung ICAO ke-42 dengan delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.


Kementerian Pengangkutan (MoT) dalam kenyataan hari ini menyifatkan keputusan itu sebagai pencapaian terbaik Malaysia setakat ini dari segi bilangan undi yang diperoleh. Malaysia berada di kedudukan ketujuh daripada 15 negara yang bertanding, mengatasi prestasi pada tahun 2022 apabila hanya memperoleh 136 undi dan menduduki tempat ke-13.


Malaysia kini mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Majlis ICAO selama tujuh penggal berturut-turut sejak 2007 — satu rekod yang menunjukkan keyakinan berterusan komuniti antarabangsa terhadap komitmen negara dalam aspek keselamatan, inovasi dan kelestarian industri penerbangan.


Persaingan kali ini menyaksikan 15 negara merebut 13 kerusi di bawah Kategori III selepas Rusia, yang gagal mempertahankan kerusi dalam Kategori I dan II, menyertai pencalonan kategori ini. Lobi aktif turut dijalankan oleh Malaysia termasuk mengadakan lebih 40 mesyuarat dua hala dan pelbagai hala dengan wakil negara dan pertubuhan lain sepanjang sesi berlangsung.


Kejayaan ini, menurut MoT, adalah hasil kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar Negeri, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Malaysia Aviation Group (MAG), Batik Air, AirAsia dan AirAsia X.


Seiring kemenangan itu, Malaysia berikrar untuk terus memperkukuh komitmen terhadap ICAO, termasuk dalam aspek keselamatan penerbangan, pembangunan infrastruktur strategik dan penyokong inisiatif inovasi serta usaha ke arah industri penerbangan global yang mampan.

Comments


bottom of page