top of page

Malaysia, Brunei Perkukuh Kerjasama Pertahanan Serantau Melalui ASEAN

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Aug 27, 2025
  • 2 min read

PUTRAJAYA, 27 Ogos 2025 — Malaysia dan Brunei Darussalam memperteguh komitmen bersama untuk terus memperkukuh kerjasama keselamatan dan pertahanan serantau menerusi pelbagai platform strategik yang diterajui ASEAN.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dalam kenyataan bersama sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26 (ALC) hari ini menegaskan bahawa kerjasama dua hala akan terus dipertingkat melalui penyertaan aktif dalam platform seperti Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC), Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), dan ADMM-Plus.


“Kerjasama ini amat penting dalam menghadapi cabaran dan ancaman keselamatan, baik bersifat tradisional mahupun bukan tradisional, yang semakin kompleks di rantau ini,” menurut kenyataan itu.


Latihan Ketenteraan Bersama dan Misi UNIFIL Bukti Komitmen Dua Hala

Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut melahirkan rasa puas hati terhadap hubungan pertahanan dua hala yang erat, khususnya melalui pertukaran lawatan berkala, kursus latihan, serta penganjuran latihan ketenteraan bersama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).


Kedua-dua pemimpin turut menzahirkan penghargaan atas penyertaan ATM dan ABDB dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan menerusi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), yang disifatkan sebagai bukti komitmen kedua-dua negara terhadap keamanan global.


Penyertaan di LIMA’25 Perkukuh Jaringan Serantau

Malaysia dan Brunei juga mengalu-alukan penyertaan pegawai kanan pertahanan mereka dalam pameran utama serantau seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang berlangsung pada 20 hingga 24 Mei lalu.


“Penganjuran acara seperti LIMA ’25 membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang pertahanan serta memperkukuh jaringan keselamatan di rantau Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.


Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut menegaskan bahawa pelaksanaan program-program pertahanan yang berterusan merupakan tonggak penting dalam menjamin keamanan, kestabilan dan kesejahteraan jangka panjang di rantau ini.

Comments


bottom of page