top of page

Macquarie Asset Management Lihat Malaysia Sebagai Destinasi Pelaburan Strategik

  • Adi Dit
  • Aug 19, 2025
  • 1 min read


KUALA LUMPUR: Pengurus dana global, Macquarie Asset Management, menyatakan minat untuk melabur dalam pelbagai sektor utama di Malaysia, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.


Katanya, minat Macquarie tertumpu kepada bidang infrastruktur dan tenaga boleh baharu, sejajar dengan agenda Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR).


“Komitmen mereka membuktikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama, terutama dalam sektor teknologi tinggi dan hijau. Ia mengukuhkan lagi aspirasi kita untuk muncul sebagai hab serantau yang mampan serta berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan di X.


Beliau juga mengadakan pertemuan bersama pengurus dana antarabangsa lain termasuk GIC, UBS dan Manulife IM pada persidangan Invest Malaysia di Singapura, yang dianjurkan Bursa Malaysia bersama Macquarie. Perbincangan memberi tumpuan kepada kedudukan Malaysia sebagai hub pelaburan neutral di ASEAN.


Antara perkara yang diketengahkan ialah kejayaan Malaysia memperoleh RM63 bilion pelaburan semikonduktor, selain perkembangan positif dalam sektor strategik seperti NIMP 2030 dan Pelan Induk Semikonduktor Kebangsaan (NSS).


“Saya yakin kerjasama seperti ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat,” ujar Zafrul.

Comments


bottom of page