top of page

Loke: Kritik Saya Tidak Mengapa, Utamakan Keselamatan Kanak-Kanak Dengan Kerusi Keselamatan

  • Adi Dit
  • Sep 30, 2025
  • 1 min read

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Susulan tragedi kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi berusia setahun, Kementerian Pengangkutan akan memperhebatkan kempen kesedaran mengenai kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata beliau menerima pelbagai kecaman berhubung kenyataannya sebelum ini yang menegaskan bayi tersebut tidak menggunakan CRS ketika kejadian. Namun, katanya, fokus utama tetap pada keselamatan kanak-kanak.

“Sebagai menteri, apa sahaja yang saya lakukan pasti akan dikritik. Tidak mengapa, saya boleh terima. Tetapi tolong jangan abaikan isu utama — kalau ada kanak-kanak dalam kereta, pasanglah CRS demi keselamatan mereka,” tegasnya pada sidang media mengenai program BUDI95 di kementeriannya, hari ini.

Pendirian Tegas Mengenai CRS

Menurut Loke, hasil siasatan awal pihak berkuasa mendapati bayi berkenaan tercampak keluar dari kenderaan sebelum maut kerana tidak diletakkan dalam CRS. Beliau menegaskan perkara ini perlu dijadikan peringatan serius buat semua ibu bapa dan penjaga.

“Ini bukan soal menyalahkan sesiapa, tetapi kita mesti ambil iktibar. CRS bukan aksesori, ia penyelamat nyawa,” katanya.


Latar Belakang Nahas

Kemalangan membabitkan empat kenderaan pada pagi Sabtu lalu mengorbankan bayi berkenaan dan mencederakan lapan individu lain. Polis memaklumkan pemandu lori yang terbabit mendakwa melompat keluar daripada kenderaan berat itu selepas mengalami masalah brek.

Loke berkata, satu sidang media khas mengenai kes kemalangan itu akan diadakan selepas kementeriannya selesai mengadakan perbincangan terperinci bersama pihak berkaitan.

Comments


bottom of page