Legenda FC Porto, Jorge Costa, Meninggal Dunia Pada Usia 53 Tahun
- Camelia K
- Aug 6, 2025
- 1 min read
PORTO – Dunia bola sepak Portugal berkabung dengan pemergian bekas kapten FC Porto, Jorge Costa, yang meninggal dunia pada usia 53 tahun akibat serangan jantung di pusat latihan kelab itu.
Costa dikenang sebagai lambang kesetiaan dan kejayaan bersama Porto. Sepanjang kariernya, beliau membuat 324 penampilan dan merangkul 24 trofi, termasuk kejayaan bersejarah menjulang Liga Juara-Juara UEFA pada 2004 di bawah kendalian Jose Mourinho.
Beliau turut dianugerahkan Golden Ball Portugal sebagai pemain terbaik liga pada tahun 2000.
Pemergian Costa menjadi kehilangan ketiga buat Porto pada musim panas ini, selepas kematian bekas pemain pinjaman, Diogo Jota, pada Julai lalu.
“Sepanjang hidupnya, Jorge Costa melambangkan nilai-nilai FC Porto – dedikasi, kepimpinan dan semangat juang yang tiada tandingan. Legasinya akan terus dikenang,” kata kelab itu dalam kenyataan rasmi.
Jose Mourinho, yang kini melatih Fenerbahce, memberi penghormatan penuh emosi kepada bekas kaptennya itu. “Jika dia boleh bercakap dengan saya sekarang, dia pasti menyuruh saya teruskan tugas dan menangi perlawanan esok. Saya akan cuba, dan kemudian saya akan menangis selepas itu,” katanya.
Rakan sepasukan seperti Deco dan Pepe turut meluahkan kesedihan mereka, menyifatkan Costa sebagai simbol keazaman Porto dan seorang kapten legenda yang memberi inspirasi.
Selain bersama Porto, Costa mencatat 50 penampilan antarabangsa bersama Portugal serta pernah dipinjamkan ke Charlton Athletic pada musim 2001/02. Bekas pengendali Charlton, Alan Curbishley, menyifatkan beliau sebagai pemain hebat yang dihormati semua.
Selepas bersara pada 2006, Costa membimbing 16 pasukan di pelbagai negara termasuk Portugal, Romania, Tunisia, India dan Gabon sebelum kembali ke Porto sebagai pengarah kelab musim lalu.
Kelab Braga, tempat beliau memulakan karier jurulatih, turut menyatakan kesedihan atas pemergian ikon bola sepak itu yang meninggalkan legasi besar dalam dunia sukan Portugal.



Comments