top of page

Lebih 5,500 Guru Bersara Awal Setahun, Hilang Minat Jadi Punca Utama – Wong Kah Woh

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Aug 20
  • 1 min read

KUALA LUMPUR – Rasa hilang minat terhadap kerjaya menjadi faktor utama mengapa ribuan guru memilih untuk bersara awal, menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh. Beliau mendedahkan bahawa lebih 67 peratusdaripada mereka yang mengemukakan permohonan persaraan awal menyatakan sebab tersebut dalam permohonan mereka.


Bercakap dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Wong berkata purata 5,594 guru bersara awal setiap tahunsejak 2022 hingga 2024. Sehingga Mei tahun ini sahaja, 2,397 guru sudah bersara awal.


Selain hilang minat, antara punca lain yang mendorong persaraan awal termasuklah masalah keluarga (17.43%), masalah kesihatan (7.69%), beban tugas (5.37%) dan masalah peribadi (2.08%).


Bagi menangani isu kekurangan guru yang semakin ketara ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil beberapa langkah segera. Antaranya ialah melaksanakan pengambilan guru tetap dua kali setahun, dan membuka permohonan secara sepanjang tahun melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi mempercepat proses pengambilan dan penempatan guru baharu.


“KPM juga telah menambah baik fungsi pengurusan sekolah melalui Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) sejak 2021 dan membangunkan dokumen deskripsi tugas yang menjelaskan akauntabiliti secara spesifik,” kata Wong.


Menjawab soalan berkenaan sokongan psikologi dan kesejahteraan guru, beliau menegaskan bahawa KPM mengambil pendekatan holistik dan progresif. Inisiatif Tujuh Langkah Kesejahteraan Guru yang dilaksanakan sejak Disember 2024 di lebih 1,000 buah sekolah telah menunjukkan impak positif.


Ini turut dibuktikan melalui Kajian Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) yang dijalankan antara November 2024 hingga Januari 2025, melibatkan 23,625 orang guru. Skor IKG mencatat 77.65 daripada 100, menandakan kesejahteraan guru secara keseluruhan berada pada tahap tinggi.


Wong menegaskan bahawa kesejahteraan guru akan terus menjadi keutamaan kerajaan, khususnya dalam memastikan mereka kekal bermotivasi, berdaya tahan dan bersedia mendidik generasi masa depan.

Comments


bottom of page