Lebih 1,300 Penggiat Filem Dunia Tolak Kerjasama Dengan Institusi Filem Israel
- Camelia K
- Sep 10
- 1 min read
LONDON, 9 Sept – Lebih 1,300 pengarah, pelakon dan penggiat industri filem antarabangsa, termasuk penerima anugerah Oscar, BAFTA, Emmy dan Cannes, tampil menandatangani ikrar menolak sebarang bentuk kerjasama dengan institusi filem Israel yang dikaitkan dengan genosid dan dasar aparteid terhadap rakyat Palestin.
Inisiatif yang dilancarkan pada Isnin itu menyatakan sokongan kepada seruan pembuat filem Palestin agar industri filem global tidak berdiam diri terhadap penindasan, serta bertindak menyokong keadilan dan kebebasan.
“Kami menyahut seruan pembuat filem Palestin yang menuntut agar komuniti filem antarabangsa bersuara terhadap penindasan, perkauman dan kekejaman. Kami juga menyeru agar industri filem menjauhkan diri daripada sebarang keterlibatan dalam tindakan tidak berperikemanusiaan,” kata kenyataan bersama itu, yang dilaporkan oleh agensi berita Anadolu Ajansi.
Kenyataan tersebut merujuk kepada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyatakan wujud risiko munasabah berlakunya genosid di Gaza, sekali gus menekankan bahawa memperjuangkan hak asasi manusia adalah tanggungjawab moral yang tidak boleh diabaikan.
Para penandatangan turut berikrar untuk tidak menayangkan filem, menghadiri acara atau bekerjasama dengan festival, pawagam, penyiar dan syarikat produksi yang bersekutu dengan institusi filem Israel yang terlibat dalam penindasan tersebut.
Langkah ini diinspirasikan daripada gerakan Filmmakers United Against Apartheid yang pernah menolak menayangkan filem mereka di Afrika Selatan sewaktu era aparteid.
Antara nama besar yang menyokong ikrar ini termasuk Olivia Colman, Javier Bardem, Susan Sarandon, Mark Ruffalo, Riz Ahmed, Tilda Swinton, Julia Sawalha, Miriam Margolyes, Ken Loach, Juliet Stevenson dan Aimee Lou Wood.
Ikrar bersejarah ini dilihat sebagai tekanan moral kepada institusi seni global agar tidak menormalisasikan penindasan dan seterusnya memperkukuh solidariti antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin.







Comments