top of page

Lebih 1.2 Juta Pekerja Gig Berpeluang Runding Gaji & Syarat Kerja – RUU 2025

  • Adi Dit
  • Aug 26
  • 1 min read


KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025 – Lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara bakal menikmati hak baharu untuk merundingkan gaji dan syarat kerja mereka menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat semalam.


RUU ini digubal bagi menyediakan rangka kerja perundangan khusus kepada pekerja gig, termasuk penubuhan Tribunal Pekerja Gig bagi mengurus pertikaian industri secara lebih teratur sebaik sahaja akta berkenaan dikuatkuasakan.


Berdasarkan dokumen yang dibentangkan, RUU ini berteras kepada empat fokus utama dengan 10 bahagian dan 112 fasal. Antara peruntukan penting ialah memastikan terma dan syarat perkhidmatan pekerja gig didokumenkan dengan jelas demi melindungi kepentingan mereka.


RUU ini turut menegaskan bahawa:

  • Fasal 5 membatalkan mana-mana syarat yang menindas atau tidak memihak kepada pekerja gig.

  • Fasal 6 mengiktiraf syarat tambahan yang lebih baik kepada pekerja gig sebagai sah.

  • Fasal 9 melarang diskriminasi, penamatan perjanjian secara tidak adil, atau larangan kepada pekerja gig untuk membuat perjanjian dengan pihak lain.


Selain itu, Bahagian IV RUU memperkenalkan mekanisme aduan dalaman dan proses perdamaian yang wajib disediakan oleh penyedia platform, manakala Bahagian V menubuhkan Tribunal Pekerja Gig yang akan menentukan isu berkaitan dengan ahli tribunal, terma lantikan dan kadar elaun.


Kerajaan menjelaskan, penggubalan ini akan memperkukuh ekosistem ekonomi gig ke arah yang lebih adil, progresif dan inklusif, serta memberikan pengiktirafan undang-undang yang lebih kukuh terhadap lebih sejuta rakyat Malaysia yang bergantung kepada sektor ini.

Comments


bottom of page