top of page

KRU Hormati Pencalonan ABPBH, Fokus Kini Tinggalkan Legasi Seni

  • A. Zahid
  • Oct 2
  • 2 min read

Trio adik-beradik terkenal, KRU, menyambut baik pencalonan mereka dalam mana-mana acara anugerah yang mengiktiraf bakat seni tanah air, meskipun sudah dianggap ‘otai’ dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik.


KRU yang dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim kini tersenarai dalam kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37.


Norman berkata, mereka tidak pernah berhasrat menarik diri daripada acara seumpama itu kerana menganggap ia sebagai tanda sokongan kepada penganjur serta penghormatan kepada peminat.


“Kalau kami tidak sertai, peminat fanatik pasti akan kecewa. Jadi, kami hormat mereka. Cuma kami harap peminat juga jangan terlalu kecewa jika kami tidak menang kerana sebenarnya kekecewaan itu lebih besar pada mereka berbanding kami,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert GenKRU The Finale: One More Time di Bukit Bintang, baru-baru ini.


Namun, selepas 33 tahun berkarya, Norman menegaskan anugerah bukan lagi menjadi keutamaan buat KRU. Fokus mereka kini lebih kepada menghasilkan karya bermutu serta meninggalkan legasi yang dapat dikenang.


“Kalau diberi (anugerah), Alhamdulillah. Tetapi kami tidak lagi mengejar kemenangan semata-mata. Kepuasan sebenar datang daripada karya yang memberi makna kepada diri dan peminat,” jelasnya.


Edry pula menegaskan pencalonan harus diterima dengan sikap profesional sambil berterima kasih atas sokongan peminat yang setia sejak awal pembabitan mereka.


“Setiap artis pasti mahu menang kerana ia menjadi simbol kejayaan. Tetapi bagi saya, penerimaan peminat lebih besar nilainya berbanding trofi. Artis harus berkarya untuk diri dan peminat, bukan semata-mata kerana habuan anugerah,” ujarnya yang kini menetap di Manchester, England.


Pada ABPBH 37, KRU bersaing dengan nama besar lain dalam kategori tersebut termasuk Dolla, Akim & The Majistret, Bunkface, Alif Satar & The Locos, Khai Bahar & Wany Hasrita serta Insomniacks.


ABPBH 37 mempertandingkan 16 kategori utama dan lima kategori ekstra. Undian calon Top 20 dibuka sehingga 9 November menerusi laman web rasmi www.abpbh.com.my.

Comments


bottom of page