Konsert 25 Tahun Inteam Sarat Nostalgia, Rai Lebih 5,000 Peminat di Idea Live Arena
- E. Guan
- Oct 6
- 2 min read
Ribuan cahaya ‘lightstick’ yang menerangi ruang Idea Live Arena, Damansara, baru-baru ini menjadi saksi perjalanan seni lebih dua dekad kumpulan nasyid terkenal Inteam bersama sekitar 5,000 peminat setia mereka.
Konsert berdurasi hampir tiga jam itu berlangsung dalam suasana penuh keakraban dan nostalgia, menyerupai pertemuan sebuah keluarga besar. Nyanyian bersama, kisah perjalanan, dan sorakan peminat membuktikan bahawa irama nasyid masih mempunyai tempat tersendiri dalam industri hiburan yang kini dikuasai pelbagai genre moden.
Empat anggota Inteam yang terdiri daripada Mohd Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad, Abdul Rahim Osman dan Hazamin Harun, memperlihatkan keampuhan karya mereka apabila setiap lagu mendapat sambutan bergema daripada penonton.
Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam dimulakan dengan lagu Nur Kasih, diikuti deretan lagu popular seperti Siti Khadijah, Akrab Persahabatan, serta gabungan Sentuhanmu, Doa Seorang Kekasih dan Hembusan Kasturi yang membawa penonton mengimbau era awal 2000-an.
Mohd Syahril meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat.“Syukur ke hadrat Allah kerana kita dapat berkumpul malam ini. Terima kasih atas sokongan berterusan sejak dahulu lagi,” katanya berseloroh sambil berinteraksi dengan penonton.
Persembahan turut diserikan dengan kolaborasi bersama penyanyi popular Khai Bahar menerusi lagu Impian Kasih dan Rabiatul Adawiyah, menampilkan kesediaan Inteam menjalin hubungan dengan generasi baharu.
Antara detik paling menyentuh ialah segmen penghargaan buat Allahyarham Suhaimi Saad, bekas anggota kumpulan itu, apabila anaknya, Sallman Elkhoyri, tampil membuat persembahan istimewa lagu Kias Cinta bersama Inteam.
Kemunculan kumpulan Hijjaz menerusi persembahan Sumaiyah secara a cappella menambah nilai kerohanian konsert tersebut, disertai interaksi mesra antara kedua-dua kumpulan yang menceriakan suasana.
Inteam turut menghiburkan penonton dengan lagu-lagu ikonik seperti Wanita, Ratu Syahadah, KeredhaanMu, Damba Kasih, Tanpamu dan Setanggi Syurga, sebelum membawa hadirin berzikir bersama melalui Ya Rabbi Ya dan Solatullah.
Dengan vokal mantap dan pertukaran kostum yang melambangkan kematangan perjalanan seni mereka, konsert ini menjadi bukti bahawa Inteam kekal relevan dan berpengaruh.
Kemuncak malam tersebut hadir apabila lagu abadi Kasih Kekasih dinyanyikan beramai-ramai bersama penonton, sebelum Inteam mengumumkan kejutan; konsert seterusnya bakal diadakan pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.







Comments