top of page

Konsert Penuh Penghayatan: Cakra Khan Dedikasi Persembahan buat Arwah Bapa

  • E. Guan
  • Aug 4, 2025
  • 2 min read

Kehebatan vokal penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan, yang penuh tenaga dan emosi berjaya memukau hampir 3,000 peminat dalam konsert solonya Divine Concert–Cakra Khan di Dewan Plenary, KLCC pada Sabtu malam.


Dikenali dengan suara serak basahnya yang unik, Cakra atau nama penuhnya Cakra Konta Paryaman, 33, mempersembahkan 26 buah lagu dengan penuh penghayatan dalam konsert anjuran Shiraz Projects yang berlangsung hampir tiga jam.


Konsert bermula sekitar jam 8.45 malam dengan tiga lagu pembuka; Setelah Kau Tiada, Persinggahan, dan Mencari Cinta Sejati, sebelum Cakra menyapa penonton dan mengakui sedikit gugup untuk memberikan persembahan terbaik.


“Assalamualaikum WBT. Apa khabar semua? Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang untuk berada di sini malam ini bersama anda semua yang luar biasa. Saya sempat makan nasi lemak tadi, jadi boleh juga cakap gaya KL sikit-sikit,” selorohnya sambil mengakui debaran berada di atas pentas besar itu.


Diiringi lebih 10 pemuzik profesional termasuk pemain biola, selo, saksofon, keyboard, gitar, bass, trompet dan dram, konsert diteruskan dengan lagu-lagu dari album keduanya seperti Kau Memilih Dia, Salah Tapi Baik, Nanti, Tak Sejalan, Take The Pain dan Cahaya.


Cakra turut menampilkan lima artis undangan: Trio XL, Titi DJ, Faisal Lubis, Marsha Milan, dan Ade Govinda. Beliau menyatakan rasa bangga dapat menjadi juri One in a Million, dan mengundang Trio XL menyampaikan lagu Rindu Tak Bersuara, memuji kekuatan vokal klasikal mereka.


“Saya sudah lama belajar teknik klasikal, tetapi jujurnya, saya masih belum capai tahap mereka,” katanya yang mengidolakan Luciano Pavarotti.


Momen paling menyentuh hati hadir apabila Cakra mendedikasikan konsert tersebut kepada mendiang bapanya, Hermana, yang menjadi sumber inspirasi sejak awal penglibatannya dalam muzik pada 2012. Allahyarham meninggal dunia akibat angin ahmar pada 2020.


“Di kampung saya, kalau ada majlis kahwin, orang luar pun boleh datang. Ayah akan bawa saya dengan motosikal ke sana supaya saya dapat menyanyi. Sayangnya, beliau tak sempat saksikan konsert pertama saya di sini,” katanya sambil mempersembahkan lagu Mencintaimu nyanyian asal Kris Dayanti.


Konsert bertukar ceria apabila Cakra turun dari pentas dan menyanyi sambil berjalan mengelilingi dewan, berinteraksi mesra dengan peminat menerusi lagu Treasure, Never Felt So Good, dan September.


Sorakan penonton makin gemuruh apabila Cakra mempersembahkan lagu Bunyi Gitar nyanyian asal Tan Sri P. Ramlee. “Saya sangat menggemari lagu-lagu Allahyarham dan menjadikannya idola. Harap saya dapat nyanyikan lebih banyak lagunya pada masa akan datang,” katanya.


Namun, suasana menjadi sayu apabila Cakra mengumumkan bahawa beliau akan berehat selepas konsert ini untuk memberi tumpuan kepada penghasilan karya baharu, setelah tiga tahun berturut-turut mengadakan konsert di Malaysia.


“Terima kasih atas sokongan yang luar biasa setiap kali saya berada di sini. Sebenarnya, saya akan berehat selepas ini,” katanya sambil menitiskan air mata.


Cakra sebelum ini pernah mengadakan konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur pada 2023 dan mengulanginya tahun lalu.


Sebagai penutup konsert dan tanda penghargaan kepada peminat, beliau menyampaikan lagu Harus Terpisah yang pernah melonjakkan namanya di Malaysia, serta I Will Always Love You nyanyian asal Whitney Houston dengan vokal yang memukau.

Comments


bottom of page