top of page

KKR Timbang Bina Terowong di Laluan Berbukit Atasi Risiko Runtuhan dan Lubang Benam

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Aug 27
  • 2 min read

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2025 — Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang meneliti cadangan pembinaan terowong sebagai alternatif bagi laluan berbukit dan tanah tinggi di seluruh negara dalam usaha mengurangkan risiko kejadian jalan runtuh dan lubang benam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan tersebut bergantung kepada keperluan geoteknikal serta kesesuaian lokasi berdasarkan kajian terperinci terhadap faktor tanah dan batuan.


“Pembinaan terowong memerlukan penilaian teknologi yang teliti, termasuk analisis tekanan tanah, jenis batuan dan sistem saliran bawah tanah. Namun begitu, buat masa ini tiada perancangan khusus untuk membina terowong di laluan FT185,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, yang mencadangkan pembinaan terowong di laluan berbukit seperti FT185 Jalan Simpang Pulai–Blue Valley — satu laluan strategik yang menghubungkan negeri Kelantan, Pahang dan Perak.


RM186 Juta Diperuntukkan Baik Pulih Cerun Kritikal

Menurut Alexander, FT185 merupakan antara 13 laluan berisiko tinggi yang dipantau secara berterusan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Sejumlah RM186 juta telah diperuntukkan di bawah beberapa fasa Rolling Plan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk kerja pembaikan cerun dan pencegahan risiko di laluan tersebut.


“Projek-projek utama yang diluluskan termasuk Seksyen 44.1 di Daerah Kinta, Perak dengan kos RM122 juta; Seksyen 61 di Gua Musang, Kelantan berjumlah RM10.4 juta; dan Seksyen 42.7 juga di Daerah Kinta melibatkan kos RM19.995 juta,” katanya.


Beliau menambah, usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan tanah tinggi.


Teknologi Dron dan Penilaian Cerun Diaktifkan

Dalam pada itu, Alexander turut memaklumkan bahawa teknologi dron telah digunakan secara meluas bagi tujuan pemetaan topografi dan penilaian keadaan cerun dengan lebih tepat dan efisien.


“Pendekatan ini membolehkan KKR mengenal pasti lokasi-lokasi kritikal dengan lebih pantas untuk tindakan segera,” katanya.


Lebih 2,000 ‘Black Spot’ Disemak Untuk Baik Pulih

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Alexander berkata lebih 2,000 lokasi di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi atau black spot.


“KKR sentiasa meneliti isu ini terutama apabila berdepan kekangan peruntukan. Keutamaan diberi kepada lokasi yang paling kritikal. Jika persimpangan tiada lampu, kita pasangkan pencahayaan. Di selekoh berbahaya pula, kita laksanakan penambahbaikan sewajarnya,” katanya.


Menurut beliau, Penilaian Keadaan Turapan (PCA) turut digunakan bagi memastikan kerja baik pulih di kawasan ‘black spot’ kekal berkesan dalam jangka masa panjang.

Comments


bottom of page