KKM Teliti Kawal Selia Etomidate Selepas Laporan Salah Guna Dalam Vape
- Camelia K
- Jul 30
- 1 min read
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menilai semula kawal selia ubat pelali etomidate susulan laporan penyalahgunaan bahan itu dalam produk vape di Singapura yang dikenali sebagai Kpods.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata etomidate kini disenaraikan di bawah Akta Racun 1952 dalam kategori B, dan hanya dibenarkan penggunaannya dalam rawatan klinikal sebagai ubat pelali serta anestetik.
Bagaimanapun, kementerian sedang mempertimbangkan untuk menyenaraikan bahan itu di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa kawalan lebih ketat.
“Cadangan ini sedang diteliti secara menyeluruh, berasaskan bukti saintifik, bukan sekadar reaksi kepada kes tertentu. Penilaian dilakukan oleh jawatankuasa pakar yang diketuai Ketua Pengarah Kesihatan Awam dan Profesor Datuk Dr Lokman Hakim,” katanya ketika merasmikan Persidangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kebangsaan 2025 di Putrajaya, Selasa.
Menurutnya, penilaian itu melibatkan aspek kesihatan awam, implikasi perundangan serta kesan jangka panjang terhadap masyarakat.
Dr Dzulkefly menegaskan, sebarang keputusan pengharaman tidak akan dibuat secara tergesa-gesa.
“Kita menuju ke arah kawalan lebih ketat, namun ia mesti melalui proses penilaian yang rapi,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan serta advokasi kepada masyarakat akan diteruskan bagi meningkatkan pemahaman tentang risiko penggunaan bahan tersebut, sementara semakan perundangan sedang dijalankan.
Isu penyalahgunaan etomidate turut dibangkitkan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, yang menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif memandangkan bahan itu berpotensi mengancam nyawa jika disalah guna.
Perkara itu turut mendapat perhatian Jemaah Menteri, dengan Perdana Menteri mengarahkan agar kajian dibuat secara teliti sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.







Comments