top of page

Khairy Jamaluddin Berdepan Cabaran Larian Umur Hampir 50 Tahun

  • TW
  • Jul 14
  • 1 min read

KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025 – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai KJ, menyifatkan penyertaannya dalam larian separuh maraton (21 km) di Score Marathon AIA Vitality, Putrajaya sebagai satu cabaran sebenar apabila beliau menyedari umurnya kini hampir mencapai 50 tahun.


Khairy, yang berusia 49 tahun, mendedahkan bahawa beliau tidak menetapkan sasaran masa khusus, sebaliknya lebih kepada menyelesaikan perlumbaan sewajarnya. Pada awalnya beliau berhasrat menamatkan larian dalam tempoh dua jam 10 minit, tetapi akhirnya menyerahkan keputusan kepada tahap fizikal semasa dan tempoh pemulihan dirinya.


Beliau turut menjelaskan bahawa jadualnya agak padat kebelakangan ini kerana menyertai beberapa acara sukan secara berturut-turut. “Saya sertai Powerman, kemudian Hyrox dan hari ini half marathon berturut-turut — memang tidak cukup masa untuk pemulihan. Saya sedar awal bahawa untuk mencatat personal best, ia agak sukar,” katanya.


Khairy turut menyatakan, walaupun larian berbasikal dan lariannya di Putrajaya, laluan yang dipilih sebenarnya cukup mencabar. “Laluan kali ini lebih mencabar daripada biasa. Walaupun di Putrajaya, trek berprofil 'rolling' dan berbukit, jadi memang tidak mudah,” jelas beliau.


Beliau memuji Score Marathon yang dikatakan telah berkembang kepada skala antarabangsa dengan lebih 33,000 peserta. “Score Marathon bermula ketika saya di Kementerian Belia dan Sukan, dan kini kita lihat ia berkembang pesat dengan penyertaan sebegitu banyak — ia jelas menjadi antara maraton terbaik di Malaysia dari segi penganjuran,” tambah beliau.

Comments


bottom of page