Bajet 2026: Permulaan Era Baharu Malaysia Madani dalam Menghadapi Dunia Pascanormal
- E. Guan
- Oct 6
- 3 min read
Dunia hari ini tidak lagi stabil dan mudah diramal seperti dahulu. Kita kini hidup dalam era pascanormal, satu realiti yang penuh kekacauan, pertentangan dan kerumitan, di mana segala-galanya berlaku serentak, pantas dan berskala besar.
Untuk berdepan dengan era baharu ini, Malaysia memerlukan visi yang segar dan berpijak pada realiti, agar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global yang mendadak. Dalam konteks ini, gagasan Malaysia Madani dan Bajet 2026 menjadi titik tolak penting, bukan sekadar belanjawan tahunan, tetapi pelan permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi lima tahun akan datang.
Kesan dunia pascanormal dapat dilihat pada ketidaktentuan ekonomi dan politik global yang memberi tekanan terhadap kehidupan rakyat serta corak pentadbiran kerajaan. Pergolakan geopolitik antara kuasa besar pula terus mempengaruhi kestabilan ekonomi serantau, termasuk Malaysia.
Dalam masa yang sama, ledakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) membawa peluang besar namun juga menimbulkan kebimbangan, terutama berkaitan masa depan pekerjaan, etika penggunaan data, dan jurang digital antara bandar dan luar bandar. Tidak semua rakyat bersedia melangkah ke dunia AI; masih ramai yang tertinggal dari segi akses dan kemahiran.
Demografi Malaysia turut menjadi cabaran baharu. Populasi yang semakin menua, peningkatan kos sara hidup, dan keperluan generasi muda terhadap pekerjaan bermaruah memberi tekanan kepada kesejahteraan rakyat. Malaysia juga berdepan kesan migrasi global akibat konflik dan perubahan iklim, menjadikannya antara destinasi utama buruh migran, membawa implikasi sosial dan ekonomi tersendiri.
Dunia pascanormal ini bukan sekadar teori, tetapi realiti yang mengubah kehidupan seharian rakyat, daripada harga barangan asas hingga ke kestabilan politik dan ekonomi negara.
Seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan dasar di Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025, sistem sosial dan ekonomi lama tidak lagi mampu menampung cabaran baharu. Struktur pekerjaan semakin tidak stabil, populasi menua terlalu cepat, dan perubahan iklim sedang mengubah cara hidup manusia.
Malaysia, kata Anwar, tidak boleh terus bergantung kepada model pembangunan luar. Negara ini perlu kepada gagasan yang berakar pada realiti tempatan tetapi tetap terbuka kepada hikmah sejagat, dan di sinilah lahirnya konsep Malaysia Madani.
Enam tonggaknya; Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan, bukan hanya slogan politik, tetapi kerangka pemikiran dan tindakan. Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa perlindungan sosial adalah “infrastruktur moral”, bukan sekadar sistem pentadbiran berpaksikan nilai ihsan dan keadilan.
Tradisi Islam seperti baitulmal menekankan pengagihan kekayaan kepada fakir miskin, balu, anak yatim dan warga emas, dan prinsip inilah yang ingin dihidupkan kembali dalam kerangka Madani.
Bajet 2026 bakal menjadi belanjawan paling penting sejak Anwar mengambil alih pentadbiran, dengan penekanan terhadap reformasi sosial dan ekonomi yang lebih menyeluruh. Perdana Menteri telah memberi isyarat bahawa perlindungan sosial perlu diperluas, meliputi pekerja gig, suri rumah dan pekerja sektor tidak formal.
Kerajaan juga akan mempercepat persiapan menghadapi masyarakat menua menjelang 2030, termasuk memastikan warga emas terus aktif menyumbang, bukan sekadar bergantung kepada bantuan. Antara inisiatif baharu yang diusulkan ialah Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan, yang melindungi pekerja bukan hanya semasa bertugas tetapi juga di luar waktu kerja.
Langkah-langkah reformasi ini, jika diterapkan dalam Bajet 2026, akan menjadikannya belanjawan yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat. Dunia pascanormal menuntut keberanian politik dan moral untuk berhadapan dengan cabaran serentak, hutang, geopolitik, teknologi, demografi, migrasi dan krisis iklim.
Anwar menutup ucapannya dengan peringatan penting: tiada negara mampu menghadapi badai pascanormal secara bersendirian. Malaysia, tegas beliau, harus bukan sekadar bertahan, tetapi turut menyumbang kepada ekosistem global yang lebih adil dan berperikemanusiaan.
Jika Bajet 2026 dilaksanakan dengan tekad dan amanah, ia bukan sahaja menjadi permulaan kepada RMK13, tetapi juga menandakan lahirnya era baharu Malaysia, era di mana negara ini berdiri teguh menghadapi cabaran dunia pascanormal sambil mengekalkan jati diri dan nilai kemanusiaan.







Comments