top of page

Kekecohan PAT BERSATU: Isyarat Retak Dalaman dan Cabaran Kepimpinan Muhyiddin

  • A. Zahid
  • Sep 11, 2025
  • 2 min read

Agak janggal melihat insiden di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU minggu lalu apabila beberapa perwakilan melaungkan desakan agar Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, “turun” ketika beliau menyampaikan ucapan dasar. Walaupun politik sering dipenuhi kejutan, tindakan terbuka terhadap seorang presiden parti yang juga bekas Perdana Menteri nyata mencetuskan persoalan tentang kredibiliti kepemimpinan dalam BERSATU.


Seorang presiden lazimnya menjadi simbol disegani. Jika ada rasa tidak puas hati, kebiasaannya ia disuarakan secara tertutup, bukan di pentas utama parti. Kekecohan tersebut kini bukan sahaja diperkatakan dalam kalangan ahli, malah menjadi bahan sindiran parti lawan.


Walaupun BERSATU kemudiannya meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Ke-11 (PM11) untuk PRU16, peristiwa itu tetap membayangkan bibit krisis dalaman.


Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan sekitar 120 Ketua Bahagian menandatangani akuan bersumpah mendesak Muhyiddin berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Walaupun Hamzah menafikan dirinya dalang, isu ini mendedahkan wujud gerakan menolak presiden yang tidak boleh dipandang ringan.


Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) serta Biro Politik BERSATU perlu segera bertindak bagi mengelakkan defisit kepercayaan semakin parah. Tindakan disiplin wajar diambil terhadap perwakilan yang mencetuskan kekecohan, sebagai isyarat bahawa parti tidak berkompromi dengan perlakuan biadab.


Langkah lain termasuk membentuk jawatankuasa khas untuk menyiasat punca sebenar konflik, sama ada kelemahan kepemimpinan, pembahagian kuasa atau permainan politik dalaman.


Walau apapun perbezaan pandangan, institusi presiden perlu dihormati. Peralihan kuasa mestilah melalui proses demokratik dan bukannya cubaan kudeta yang boleh merosakkan struktur parti.


Dalam isu pencalonan Muhyiddin sebagai PM11, ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana mana-mana parti berhak menentukan calon Perdana Menteri. Namun, dari sudut kesepakatan, keputusan akhir tetap memerlukan konsensus Majlis Pimpinan PN.


Tanpa restu sekutu utama seperti PAS, keserasian gabungan boleh terjejas dan menjejaskan peluang PN menghadapi PRU16.

Comments


bottom of page